Muhammad Sanusi merafak sembah, ucap tahniah kepada Sultan Kedah

Iklan
Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor merafak sembah dan mengucapkan tahniah sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-80 Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Ahad.

Muhammad Sanusi berkata, beliau mewakili rakyat jelata mendoakan Sultan Sallehuddin; Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan kerabat Diraja Kedah dikurniakan dan dilimpahi rahmat, kemuliaan serta kesihatan yang baik.

Iklan
Iklan

"Patik dan seluruh rakyat jelata Kedah turut mendoakan semoga negeri ini terus menikmati pembangunan, kemajuan, kesejahteraan dan keharmonian di bawah naungan Tuanku yang amat dikasihi.

"Bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-80, patik mewakili anggota pentadbiran kerajaan Tuanku serta sekalian rakyat jelata merafak sembah untuk menzahirkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan Sallehuddin,” katanya.

Iklan

Muhammad Sanusi berkata sedemikian pada Majlis Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit di sini pada Ahad.

Beliau berdoa semoga ALLAH SWT melanjutkan usia Sultan Sallehuddin untuk kekal memerintah di negeri ini.

Iklan

"Kami berikrar akan terus mengusahakan pentadbiran dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat di bawah slogan dasar ‘Kedah Sejahtera – Nikmat untuk Semua’.

"Ia dilakukan dengan sepenuh komitmen, dedikasi, ikhlas, adil dan saksama serta bertanggungjawab kepada sekalian rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, serta apa jua perbezaan termasuk pegangan politik," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, beliau menjunjung semua titah Sultan Sallehuddin dengan dengan penuh iltizam dan istiqamah demi memastikan perjalanan urus tadbir sentiasa patuh pada arah tuju sebagaimana yang baginda titahkan.