BESUT – Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Tengku Mahmud (TMESA) telah menyumbang sebanyak RM80,000 bagi membantu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud pada tahun ini.
Presiden TMESA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, sumbangan tersebut meliputi pelbagai bantuan pembangunan akademik dan prasarana sekolah demi kemudahan serta keselesaan pelajar ketika menuntut ilmu.
Terbaharu menurut beliau, TMESA mengambil inisiatif menyumbang sebanyak 23 unit komputer kepada sekolah supaya proses pembelajaran dan pengajaran untuk subjek sains komputer dapat dijalankan dengan baik.
"Komitmen ahli TMESA begitu baik dalam membantu sekolah dan sebagai contoh, TMESA melalui salah seorang ahlinya iaitu Datuk Seri Maziah Musa turut menyumbang sebanyak 200 buah kerusi untuk kegunaan guru-guru.
"Sekarang, kita lihat ada beberapa perkara lagi yang perlu TMESA bantu sekolah ini terutama dari segi prasarana dan kita sedang berusaha untuk mencari lebih banyak sumbangan.
"Selain prasarana, kita juga komited membantu meningkatkan pencapaian akademik anak-anak ke tahap lebih tinggi dengan sumbangan pendidikan seperti kem kecemerlangan, program motivasi dan kursus akademik,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf berkata demikian kepada Sinar Harian selepas hadir menyempurnakan Program Motivasi dan Perasmian Makmal Komputer SMK Tengku Mahmud di SMK Tengku Mahmud, di sini pada Ahad.
Pada program tersebut, Muhamad Nasir turut meluangkan masa lebih setengah jam untuk berkongsi rahsia kejayaan dan memberi nasihat serta kata-kata semangat kepada pelajar SMK Tengku Mahmud.
Sementara itu, Pengetua Cemerlang SMK Tengku Mahmud, Nathrah Awang Teh, berterima kasih kepada barisan kepimpinan dan ahli TMESA kerana banyak membantu sekolah dalam pelbagai aspek sumbangan.
Menurut Nathrah, hubungan baik antara SMK Tengku Mahmud dan TMESA sebagai alumni dapat membantu menampung kekurangan yang dihadapi sekolah termasuk sumbangan 23 buah komputer untuk kegunaan makmal sekolah.
"Sebelum ini, hanya satu makmal komputer yang berfungsi. Dengan bertambahnya satu lagi makmal komputer, pelajar boleh gunakan makmal komputer secara bergilir mengikut jadual ditetapkan kerana subjek sains komputer perlu buat sendiri pengaturcaraan mengikut kandungan sukatan.
"Selain itu TMESA juga ada bagi sumbangan untuk pelaksanaan kem akademik pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Alhamdulillah kita nampak kemenjadian pelajar apabila keputusan mereka semakin meningkat,” katanya.