KUALA LUMPUR - Kelulusan yang diberikan Kementerian Sumber Manusia kepada 25 syarikat untuk mengambil pekerja dari Bangladesh dibuat bagi mengelakkan amalan monopoli serta menjaga kebajikan dan mata pencarian pekerja berkenaan, kata Menterinya Datuk Seri M Saravanan.
Dalam satu kenyataan di sini pada Ahad, Saravanan juga menyangkal dakwaan membabitkan penglibatan Perdana Menteri, Bangladesh Sheikh Hasina, dalam pemilihan syarikat pengambilan itu, dengan menyatakan ia adalah salah dan tidak berasas sama sekali.
"Kenyataan susulan pertemuan saya dengan Tuan Yang Terutama dan menjelaskan hal ehwal semasa pekerja asing Bangladesh di negara kita diambil di luar konteks. Pertemuan saya dengan beliau adalah untuk menceritakan situasi semasa pekerja asing ini dan inisiatif diambil oleh kementerian saya untuk keadaan kerja yang lebih baik,” katanya.
Saravanan berkata, dalam usaha untuk mewujudkan kebolehcapaian lebih baik bagi pekerja berpotensi dan memastikan tadbir urus yang baik dalam proses pengambilan pekerja, kementeriannya memilih 25 syarikat daripada senarai 1,520 yang disediakan oleh Kementerian Tenaga Manusia Bangladesh.
Beliau berkata, sebelum keputusan pemilihan itu, hanya 10 syarikat terlibat dalam pengambilan pekerja dari Bangladesh yang malangnya ia menyebabkan ramai pekerja tertarik dengan janji kerja yang baik sebelum dibiarkan terkandas oleh agensi dari kedua-dua negara.
Saravanan berkata, kementeriannya juga akan terus mengakreditasi 250 syarikat lagi yang akan beroperasi dalam struktur 25 syarikat berkenaan untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem pengambilan terutamanya dalam memenuhi piawaian dan garis panduan ditetapkan.
Kementerian Sumber Manusia hanya berurusan dengan 25 syarikat ditetapkan itu yang akan dipantau rapi bagi memastikan mereka mematuhi garis panduan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkaitan kebajikan pekerja, katanya.
"Malaysia serius dalam menangani isu buruh paksa yang mencalar kedudukan antarabangsa kita. Kedua adalah menjadi tanggungjawab 25 (syarikat) sepenuhnya untuk memastikan 250 lagi memenuhi standard pengambilan yang ketat dan amalan terbaik antarabangsa yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia,” katanya.
Sementara itu, Saravanan berkata, kementeriannya tidak mengamalkan keutamaan berhubung negara sumber tertentu.
Beliau berkata, kementerian hanya terlibat dalam memberi kelulusan kepada syarikat masing-masing untuk mengambil pekerja asing bagi memenuhi permintaan pengeluaran mereka, dan setakat ini, terdapat 14 negara sumber yang syarikat boleh mendapatkan pekerja mereka, bukan dari Bangladesh semata-mata.
"Apabila saya masuk (ke kementerian sebagai menteri), saya membuat keputusan bahawa tidak akan ada sebarang kelulusan langsung atau khas, amalan berleluasa sebelum ini yang menimbulkan terlalu banyak kesan terutamanya dari segi reputasi antarabangsa negara kita,” katanya.
Dalam pada itu, Saravanan berkata, pusat sehenti untuk kelulusan pekerja asing yang sebelum ini terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri telah dipindahkan ke Kementerian Sumber Manusia.
"Sehingga kini, jabatan itu telah meluluskan kira-kira 230,000 pekerja. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua di kementerian atas usaha gigih mereka dalam membantu pemain industri dan perniagaan mengatasi masalah kekurangan pekerja.
"Kini terpulang kepada syarikat berkaitan yang mendapat kelulusan untuk membayar levi dan membuat pengambilan serta mengemukakan laporan perubatan bagi mendapat visa dengan merujuk kepada Kementerian Dalam Negeri untuk mempercepatkan proses selebihnya bagi memastikan kelangsungan hidup perusahaan kita,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan dua kumpulan hak asasi pekerja asing dilaporkan menggesa Saravanan untuk menjelaskan keputusannya membenarkan hanya 25 agensi Bangladesh mengambil pekerja untuk negara ini.
Charles mempersoalkan Saravanan tentang sebab bilangan agensi itu ditetapkan dan bagaimana mereka boleh membantu menyelesaikan masalah eksploitasi pekerja asing. - Bernama