Legenda lawan pedang negara Ronnie Ignatius meninggal dunia

Iklan
Ronnie Ignatius Theseira

KUALA LUMPUR - Legenda sukan lawan pedang negara dan bekas atlet Olimpik 1964 Tokyo, Ronnie Ignatius Theseira, meninggal dunia akibat sakit tua pada usia 92 tahun di sebuah rumah penjagaan warga emas di Melaka, semalam.

Ronnie, yang membantu memperkenalkan sukan lawan pedang di Malaysia sekitar tahun 19-50an, menghembuskan nafas terakhir ketika sedang tidur.

Iklan
Iklan

"Dia meninggal dunia kerana sakit tua,,,salah seorang senior saya dalam sukan lawan pedang menghantar pesanan mengenai pemergiannya pagi semalam,” kata bekas anak buahnya, Ricky Loo ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Bekas atlet negara berusia 76 tahun itu menyifatkan pemergian Ronnie sememangnya satu kehilangan besar kepada sukan itu atas sumbangan besarnya kepada sukan itu termasuk menjadi pengasas Persatuan Lawan Pedang Amatur Malaysia sekitar 1950-an selain melatih kebanyakan bekas pemain negara pada era 1970-an dan 1980-an.

Iklan

Mendiang meninggal dua anak perempuan manakala isterinya meninggal dunia 10 tahun lalu.

"Mendiang sangat sihat semasa kali terakhir saya bertemu dengannya semasa jamuan malam Krismas tahun lalu di Melaka,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan maklumat yang dikongsi oleh Presiden Persekutuan Lawan Pedang Malaysia, Rusni Abu Hasan, upacara sembahyang jenazah mendiang Ronnie akan diadakan di Xiao En Memorial Centre, Jalan Kuari, Cheras, di sini pada jam 11 pagi, Selasa ini.

Iklan

Upcara memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di sana bermula jam 10 pagi hingga 10 malam pada hari ini dan esok.

Menurut catatan Facebook daripada Persatuan Olimpian Malaysia (MOA), Ronnie mewakili Malaysia dalam sukan lawan pedang di Sukan Olimpik 1964 di Tokyo,Jepun.

Selain lawan pedang, mendiang juga cemerlang dalam sukan tinju, bina badan dan tarian ballroom.

"Takziah kami ucapkan kepada keluarga dan rakan-rakannya. Semoga rohnya tenang,” menurut MOA. - Bernama