PENGENDALI baharu Penang FC, Zainal Abidin Hassan mengakui beliau memerlukan masa untuk melakukan perubahan kepada corak permainan skuad Harimau Kumbang memandangkan anak buahnya masih berada di takuk lama.
Zainal yang baru dilantik mengetuai barisan kejurulatihan Penang FC pada 1 Jun lalu daripada Tomas Truca mengakui, beliau perlu bekerja keras untuk mengembalikan pasukan pada tahap yang terbaik
"Mereka masih lagi takuk lama dan tidak dapat mengikut 'game plan' yang diterapkan dalam tempoh masa yang singkat. Saya cuba dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini tanpa tekanan, namun pada perlawanan sebenar ini ada tekanan.
"Separuh masa pertama mereka masih lagi tidak dapat bermain dengan cemerlang dalam tekanan, namun permainan masa kedua mereka bermain dengan baik apabila menyamakan kedudukan menerusi Casagrande.
"Bagaimanapun, mereka kembali terumbang ambing selepas Casagrande mengalami kecederaan,” ujar bekas pengendali Melaka United FC.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bandaraya Pulau Pinang,The Phoenix kendalian P Maniam terlebih dulu di depan menerusi jaringan S Kumaahran pada minit ke-36 sebelum Casagrande muncul penyelamat Harimau Kumbang dengan gol penyamaan di minit ke-63.
Sementara itu, Maniam ketika ditanya berkenaan aksi anak buahnya pada perlawanan tersebut nyata gembira dengan apa yang ditampilkan terutamanya di bahagian serangan apabila mereka banyak mencipta peluang.
Bagaimanapun, beliau sedikit kecewa dengan barisan pertahanan PJ CIty yang gagal mengawal dengan ketat Casagrande sehingga menyebabkan pemain kelahiran Brazil itu berjaya menyamakan kedudukan.
"Separuh masa pertama, pemain-pemain bermain dengan baik. Mereka ikut arahan yang diberikan dan berjaya mendapatkan gol pembukaan.
"Bagaimanapun, saya sedikit kecewa di separuh masa kedua terutama di barisan pertahanan yang gagal mengawal rapi Casagrande sehingga menyebabkan kami dibolosi. Apa pun keseluruhannya mereka beraksi dengan baik pada perlawanan ini," katanya.