Lapan ditahan seleweng 97,780 liter minyak diesel

Iklan
Muhamad Zaki (kiri) bersama para pegawainya melihat tangki minyak diesel yang dirampas ketika melawat lokasi serbuan di syarikat pembekal minyak diesel di Kampung Tebing Tinggi pada Ahad. - Foto Bernama

TANAH MERAH - Polis merampas sebanyak 97,780 liter minyak diesel bernilai RM210,227 dalam dua serbuan berasingan di Tanah Merah dan Machang awal pagi Ahad.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil serbuan yang dilakukan oleh anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan berjaya menahan lapan suspek termasuk seorang warga Bangladesh berumur antara 29 hingga 50 tahun.

Iklan
Iklan

"Hasil dua serbuan itu pihaknya merampas lima lori, tiga mesin penyedut minyak dan enam tangki statik dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM910,007.

"Kesemua lapan suspek ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah dan Machang untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya selepas melawat lokasi rampasan minyak diesel di Kampung Tebing Tinggi, di sini pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya mendapati mereka yang ditahan itu menggunakan modus operandi dengan membeli minyak bersubsidi menggunakan lori biasa yang tangkinya telah diubah suai untuk mengaburi pihak berkuasa sebelum dipindahkan ke tangki statik di kilang utama.

"Kegiatan haram yang dilakukan oleh sebuah syarikat pembekal minyak diesel di Tanah Merah itu yang membeli diesel bersubsidi dan bukan dengan harga minyak industri seperti mana yang ditetapkan oleh kerajaan, dipercayai telah lama menjalankan kegiatan berkenaan," katanya. - Bernama

Iklan