Angkasa, IFFCO meterai MoU perkasa sektor pertanian

Iklan
Noh Omar - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan The Indian Farmers Fertiliser Cooperative Limited (IFFCO) bagi membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada gerakan koperasi di kedua-dua negara dalam industri pertanian dan asas tani serta perladangan.

Menerusi MoU itu, koperasi terlibat dengan sektor perladangan, pertanian dan industri asas tani akan mendapat bekalan baja jenis nano urea yang mesra alam, selamat dan menambah kandungan nutrien dengan harga berpatutan.

Iklan
Iklan

Kerjasama itu juga akan menawarkan produk dan perkhidmatan koperasi Malaysia dalam sektor berkenaan untuk timbal balas kerjasama kepada pihak IFFCO.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, kerjasama itu akan membantu usaha kerajaan memperkasa sektor pertanian dan membantu pengusaha khususnya koperasi, memastikan kualiti serta hasil pertanian negara seiring Dasar Agromakanan Negara 2021-2030.

Iklan

"Melalui perjanjian yang telah dimeterai secara dasarnya, Angkasa bersetuju untuk mengimport baja nano dan mengadakan ujian awal penggunaannya di tanah-tanah pertanian yang telah dikenal pasti.

"Usaha ini merupakan langkah ke hadapan khususnya dalam memastikan kelestarian alam semula jadi kerana tiada komponen kimia digunakan dalam pembuatan baja nano ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Angkasa pada Ahad.

Iklan

Menurut Noh, sesuai dengan 100 tahun tertubuhnya gerakan koperasi di Malaysia, peranannya harus diperluas bukan sahaja terlibat dalam perkhidmatan kredit dan pendidikan, malah sektor lain berimpak tinggi seperti agromakanan yang akan memberi manfaat kepada rakyat serta ekonomi.

MoU itu dimeterai sebagai satu daripada agenda lawatan kerja rasmi Noh yang mengetuai delegasi koperasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Ikatan Koperasi Antarabangsa, ICA Elective General Assembly dan Persidangan ‘Cooperatives: The Moment Is Now!’ 2022 di Seville, Sepanyol pada 19 hingga 22 Jun.

Noh menyaksikan pemeteraian MoU itu yang ditandatangani Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dan Pengarah Pemasaran, IFFCO Yogendra Kumar.

Angkasa bertindak sebagai pemudah cara sesuai dengan peranannya sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang menyatu dan mewakili koperasi di peringkat nasional dan antarabangsa.

MoU berkenaan akan berkuat kuasa selama dua tahun bermula pada Ahad (19 Jun) dan kerjasama itu boleh dilanjutkan berdasarkan kepada perbincangan serta persetujuan kedua-dua pihak.

IFFCO dinobatkan sebagai koperasi terbaik dunia dalam ‘Top 300’ World Cooperative Monitor 2021 yang dimiliki penuh oleh Cooperative Societies of India dan merupakan pengilang baja terbesar di negara tersebut. - Bernama