GOMBAK - Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpandangan, laporan 100 hari PH oleh Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) tidak melibatkan isu keselamatan negara.
Azmin berkata, MPK ditubuhkan untuk memberikan cadangan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan penambahbaikan sektor ekonomi dan kewangan negara.
"Laporan itu adalah syor atau cadangan yang tidak melibatkan keselamatan negara. Ia merujuk kepada cadangan kepada Dr Mahathir untuk langkah yang boleh diambil untuk penambahbaikan.
"Laporan ini mengandungi cadangan untuk meningkatkan usaha merancakkan ekonomi negara dan beberapa syor kepada sektor swasta," katanya sewaktu lawatan di pusat pemindahan sementara Dewan Orang Asli Batu 12 Gombak.
Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, kerajaan buat masa ini tidak bercadang mendedahkan keputusan laporan 100 hari PH kepada umum.
Ini kerana laporan yang disediakan oleh MPK itu hanya dikhaskan untuk pengetahuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sahaja.
Mohamed Hanipa berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusof yang bertanyakan pendirian kerajaan berkenaan laporan 100 hari PH sama ada mahu didedahkan kepada umum atau sebaliknya, semalam.
Azmin ketika ditanya berhubung sama ada laporan itu boleh didedahkan atau sebaliknya mengulangi kenyataan bahawa ia tidak melibatkan soal keselamatan negara.
"Laporan penuh itu sudah sampai kepada perdana menteri yang akan dibincangkan dalam kabinet dari semasa ke semasa.
"Terdapat beberapa saranan yang akan dipertimbangkan untuk pelaksanaan dan ada juga antaranya memerlukan kajian. Itu adalah proses biasa," katanya.