MEDIA sosial baru-baru ini dihujani dengan perkongsian calon yang mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ramai yang berkongsi keputusan cemerlang tak kira dari golongan anak B40, M40 mahupun T20. Namun tak kurang juga yang gagal dalam peperiksaan.
Agak mengejutkan baru-baru ini, tular video perkongsian calon SPM yang memuat naik keputusan gagal mereka untuk tatapan umum tanpa rasa segan silu.
Pada pandangan penulis, sekurang-kurangnya pelajar SPM perlu lulus subjek teras, takkan bahasa Melayu pun calon tidak boleh lulus? Bahasa ibunda kita tu.
Penat sahaja menghadap cikgu hari-hari tetapi tidak mahu mencuba untuk lulus subjek tersebut.
Selain itu, perlukah calon SPM bangga dengan keputusan gagal mereka atau hanya sekadar mahu meraih jumlah tontonan yang tinggi di media sosial?
Pada zaman serba moden dan teknologi canggih agak mudah bagi golongan pelajar mahu menjadi influencer, mungkin kerana itu salah satu cara paling senang di kenali dan boleh menjadi punca pendapatan.
Pernah dulu pada tahun 2018, tular pasangan kembar mendapat keputusan 7G (gagal) dalam SPM berkongsi keputusan mereka di media sosial.
Mereka pernah dikecam teruk oleh netizen kerana kesilapan menyalahkan sekolah dan guru gara-gara keputusan gagal 7G, namun kini mereka menjadi instafamous dan bergelar usahawan.
Pengakuan itu dibuat dalam satu video di muat naik di Facebook hingga tular.
Penulis merasakan hal ini tidak sepatutnya terlaku, kenapa perlu salahkan guru?
Jika kita beranggapan dengan keputusan G yang banyak kita boleh berjaya, makin ramailah nanti anak-anak muda yang malas belajar.
Pada zaman penulis dulu, dapat keputusan D pun dah kira teruk sangat, apatah lagi nak salahkan cikgu.
Budak zaman sekarang dapat G relaks sahaja dan salahkan cikgu lagi. Bezanya anak murid zaman dulu dan sekarang. Sedih penulis tengok moral anak-anak zaman moden.
Pendidikan ini sangat penting bagi membangunkan masyarakat yang berilmu, tanpa ilmu di dada anda hanya dipandang rendah oleh masyarakat di luar sana.
Mungkin benar, bak kata pepatah orang yang gagal dalam peperiksaan tidak bermakna gagal dalam kehidupan tetapi perlu ingat pendidikan yang akan membangunkan masyarakat supaya berjaya dan maju.
Bagaimana kita mahu membentuk masyarakat berilmu sekiranya SPM pun kita tidak boleh lulus? Ini belum lagi di peringkat pendidikan yang lebih tinggi.
Cuba bayangkan, jika tahap pendidikan negara kita menjadi lebih teruk berbanding negara yang mundur, alangkah sedihnya jika tahap pendidikan negara kita jadi begitu.
Dalam pada itu, pertama kalinya dalam sejarah negara sebanyak 10,681 daripada 407,097 calon berdaftar SPM 2021 tidak menduduki peperiksaan itu, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Seramai 9,037 calon atau 2.30 peratus terdiri daripada mereka yang mendaftar di sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM), sekolah agensi kerajaan, sekolah menengah negeri, sekolah swasta dan sekolah menengah agama rakyat.
Selain itu sebanyak 1,644 calon atau 0.42 peratus adalah calon persendirian.
Mohd Radzi memaklumkan faktor yang mendorong seseorang pelajar tidak menduduki SPM antaranya menghadapi masalah peribadi, keluarga dan kewangan.
Semoga KPM dapat mengenal pasti pelajar yang ada masalah dalam pelajaran supaya tidak berulang insiden 'abaikan' SPM.
Kalau boleh biarlah negara kita menghasilkan pakar-pakar yang berjaya seperti Dr Amalina Bakri atau kepakaran penting lain agar negara kita tidak bergantung kepada pakar dari luar negara.
Sementara itu, inisiatif yang dilakukan oleh beberapa agensi dalam negara untuk meningkatkan kepakaran anak tempatan perlu sentiasa disokong.
Misalnya, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Sains Dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), Mohd Yazid Ahmad berkata, STRIDE sentiasa berganding bahu dengan pemain industri pertahanan tempatan dalam menjalankan pelbagai penyelidikan dan pembangunan serta latihan dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.
Akhir kalam, penulis berharap KPM dapat menangani masalah pendidikan anak-anak zaman moden agar mereka diberi peluang dan bantuan untuk berjaya pada masa akan datang.
* Zairani Ibrahim ialah pencipta kandungan Sinar Harian