Bertindak ke atas pelaku, bukan sekadar sita pasu bunga dan kon

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

NAMPAKNYA sudah ada pihak berkuasa tempatan yang bertindak isu 'cop' parkir di kawasan pangsapuri kos rendah.

Kebiasaan kawasan letak kenderaan di bangunan rumah ini adalah hak milik bersama. Erti kata lain, siapa cepat dia dapat.

Iklan
Iklan

Merak Jalanan puji tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyita pelbagai barangan yang dijadikan penanda 'cop' parkir.

Tetapi ramai yang melihat ia satu tindakan yang tidak cukup tegas kerana isu ini bukan perkara baharu.

Iklan

Orang ramai mahu tindakan menyeluruh dan bukan sekadar sita pasu bunga dan kon.

Kehilangan pasu bunga akibat disita itu tidak merugikan si pelaku kerana pasu bunga tanah liat berharga RM20 manakala kon hanya dalam lingkungan RM17.

Iklan

Jika disita hari ini, esok si pelaku akan beli lain dan mengulangi kelakuan 'cop' parkir.

Maka sampai bila isu ini akan selesai dan adakah penguat kuasa akan turun ke lokasi pada setiap hari untuk sita pasu bunga dan kon?

Justeru, si pelaku juga perlu dikenakan tindakan. Jika ada pasu bunga atau kon di mana-mana lot parkir, sudah pasti ada empunya barangan tersebut.

Mustahil ia diterbangkan angin atau ada kaki untuk berjalan sendiri.

Jejak siapa pelaku dan kenakan tindakan saman atau kompaun yang boleh membawa ke tindakan pendakwaan di mahkamah, jika gagal bayar.

Bukan apa, ada segelintir penghuni yang enggan atau tidak berani menegur si pelaku kerana bimbang tercetusnya pertikaman lidah dan pergaduhan.

Jika alihkan pasu bunga atau kon pula, nanti boleh mengundang risiko khianat seperti calar dan memecahkan cermin kereta.

Salah satu cara lain, mungkin boleh tawarkan parkir berbayar.

Lebih baik pihak berkuasa tempatan (PBT) jana pendapatan berbanding membazirkan wang kutipan cukai untuk biayai operasi menyita pasu bunga dan kon.