SEGALA-galanya tampak sempurna buat pelari pecut muda atau lebih dikenali dengan gelaran Usain Bolt Malaysia, Muhammad Azeem Fahmi sejak beberapa hari lalu.
Selepas memperoleh keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, Azeem berjaya ‘menawan’ Kejohanan Olahraga Terbuka Perak 2022 dengan memenangi acara 100 meter (m) dan 4x100m.
Lebih manis, kejayaan Azeem mencatat masa 10.28 saat (s) di Stadium Perak pada Sabtu menyaksikan dia memperbaharui rekod peribadi dalam acara 100m lelaki Terbuka Perak.
Catatan itu memperbaharui rekod peribadi Azeem iaitu 10.37s yang dicatatkannya ketika menyertai Kuala Lumpur Allcomers pada 26 Mac lalu.
Azeem turut boleh berbangga apabila berjaya membantu kuartet Perak memenangi pingat emas acara 4x100m lelaki dengan catatan masa 41.43s.
Kejayaan manis dalam bidang akademik mahupun di trek perlumbaan itu sedikit sebanyak memadam kekecewaan Azeem pada Sukan SEA Hanoi 2022 bulan lalu.
Pada ketika itu, Azeem dipalit kecewa ekoran insiden 'false start' acara 100m yang menyaksikan dia ‘tersingkir’ lebih awal dalam acara riben biru tersebut.
"Bagi saya insiden itu (false start) sudah berlalu, saya belajar daripada kesilapan itu. Sekarang saya mahu terus fokus ke hadapan bagi menghadapi beberapa kejohanan akan datang.
"Selepas ini, saya akan bersaing pada Terbuka Sarawak Julai nanti sebelum menyertai Kohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia pada Ogos depan.
"Kemudiannya saya juga perlu bersiap sedia untuk Sukan Malaysia (Sukma) di Kuala Lumpur pada September,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Azeem kini dianggap bintang dalam pembikinan memandangkan dia mempunyai masa yang cukup cerah dalam meneruskan kariernya dalam arena olahraga.
Mengulas pencapaiannya memperoleh 6A dalam SPM 2021, Azeem berkata, keputusan itu telah membangkitkan lagi motivasinya untuk berjaya dalam bidang sukan dan akademik.
"Alhamdulillah, keputusan SPM ini menjadikan saya lebih semangat untuk berjaya dalam sukan dan pelajaran,” ujarnya yang mendapat tawaran tempat dan biasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi peringkat diploma.