Nelayan jatuh bot ditemui lemas ketika pukat ikan

Iklan
Mayat mangsa dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.

GEORGETOWN - Seorang nelayan ditemui maut selepas dipercayai terjatuh daripada bot ketika sedang memukat ikan bersama rakannya di perairan Pulau Jerejak pada jam 3.15 petang Ahad.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Rajendran berusia 56 tahun itu ditemui terapung berhampiran bot yang dinaiki bersama rakannya.

Iklan
Iklan

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi melalui MERS 999 berhubung kejadian seorang nelayan terjatuh dari bot dan disyaki lemas ketika memukat ikan bersama rakannya.

Menurutnya, sebaik menerima laporan, sebuah bot KILAT 26 telah ke lokasi kejadian bagi melaksanakan mencari dan menyelamat.

Iklan

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota KILAT 26 menemui mangsa dalam keadaan terapung dipercayai telah meninggal dunia berhampiran bot yang dinaiki bersama rakannya.

"Rakan mangsa, Murugan yang juga saksi kejadian memaklumkan, mangsa terjatuh ke dalam laut selepas kakinya terbelit pada pukat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Abd Razak berkata, anggota Maritim Malaysia Pulau Pinang telah membawa mayat mangsa ke Jeti Pasukan Polis Marin di Batu Uban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Balai Polis Perai sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya oleh pasukan St John Ambulans.

"Maritim Malaysia menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengutamakan langkah-langkah keselamatan ketika melakukan apa jua aktiviti semasa berada di laut.

"Orang awam diminta agar melaporkan sebarang penemuan dan melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut menerusi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146," katanya.