Parti Emmanuel Macron hilang majoriti di Parlimen Perancis

Iklan
Emmanuel Macron

PARIS - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Perancis, Emmanuel Macron kehilangan majoriti dalam Parlimen negara itu, menerusi keputusan rasmi yang diumumkan Kementerian Dalam Negeri pada Isnin.

Ia sekali gus memberi tamparan hebat kepada rancangan pemimpin itu untuk pelaksanaan pakej pembaharuan termasuk program pemotongan cukai, reformasi kebajikan dan menaikkan had umur persaraan kepada 65 tahun setelah kemenangannya pada pemilihan April lalu yang menjadi presiden pertama kekal menerajui penggal kedua dalam tempoh lebih dua dekad.

Perikatan Together pimpinan Macron dilaporkan hanya memenangi 245 kerusi iaitu kurang daripada 289 kerusi yang diperlukan untuk majoriti daripada 577 kerusi yang dipertandingkan.

Sementara itu, pakatan sayap kiri, NUPES di bawah pimpinan Jean-Luc Melenchon memperoleh 135 kerusi dan Parti Perhimpunan Nasional yang dipimpin pesaingnya daripada parti berhaluan kanan, Marine Le Pen pada Pilihan Raya Presiden meraih 89 kerusi.

Keputusan pilihan raya pusingan kedua itu dijangka memburukkan lagi landskap politik di Paris dan melumpuhkan badan perundangan serta menyebabkan perikatan parti pemerintah menjadi huru-hara yang mungkin memaksa Macron untuk membentuk sekutu baharu.

"Situasi sekarang mencetuskan risiko kepada negara kita di samping perlu berdepan cabaran yang besar," kata Perdana Menteri, Elisabeth Borne.

Kebanyakan akhbar di negara itu turut menjadikan keputusan pilihan raya yang tidak berpihak kepada Macron sebagai tajuk muka depan. Akhbar harian, Le Monde menerusi portal mereka menggunakan tajuk agak kontroversi, Macron berdepan risiko kelumpuhan politik' manakala Le Figaro menyifatkan perkembangan politik itu sebagai 'mandat yang baharu lahir telah mati'.

Kekalahan yang memalukan itu juga menyaksikan beberapa menteri utama bakal kehilangan jawatan mereka. Menteri Kesihatan, Brigitte Bourguignon, Menteri Maritim, Justine Benin dan Menteri Alam Sekitar, Amelie de Montchalin yang menjadi tonggak pentadbiran Macron sejak beberapa tahun lalu tidak lagi dapat meneruskan penggal perkhidmatan mereka kerana gagal menang kerusi di Parlimen.

Kekalahan sama juga dihadapi dua sekutu rapat presiden tersebut, Speaker Parlimen, Richard Ferrand dan bekas Menteri Dalam Negeri, Christophe Castaner.

Paling mengejutkan apabila bekas tukang cuci, Rachel Keke yang bertanding di bawah Parti NUPES dan berkempen untuk suasana persekitaran tempat kerja lebih baik menewaskan bekas Menteri Sukan, Roxana Maracineanu.

Macron bagaimanapun mampu menarik nafas lega setelah Menteri Eropah, Clement Beaune dan Menteri Perkhidmatan Awam, Stanislas Guerini yang menjadi pemimpin belia di bawah partinya berjaya memenangi persaingan sengit untuk merebut kerusi masing-masing.

Data Kementerian Dalam Negeri menunjukkan peratusan yang keluar mengundi juga adalah rendah dengan jumlah 53.77 peratus walaupun dikatakan lebih tinggi berbanding ketika pemilihan pusingan pertama. - AFP

Iklan
Iklan