Isu guling MB: Umno Perak sahkan nama lima Adun

Iklan
Saarani (tengah) pada sidang media di Bangunan Umno Perak, hari ini.
IPOH - Umno Perak mengesahkan lima wakil rakyat parti itu yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam merupakan individu yang ditemui seorang Exco Kerajaan Negeri bagi tujuan mendapatkan sokongan menjatuhkan Menteri Besar Perak menerusi undi tidak percaya dalam Sidang Dun.

Mereka adalah Adun Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Adun Bukit Chandan, Maslin Sham Razman; Adun Bota, Khairul Shahril Mohamed; Adun Lubuk Merbau, Dr Jurij Jalaluddin dan Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.

Pengerusi Umno Negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, kesemua mereka dipanggil memberi keterangan berhubung perkara itu secara berasingan di Pejabat SPRM antara jam 12 tengah hari dan 3 petang.

Sambil mengakui, SPRM begitu cekap dalam mengenal pasti lima wakil rakyat dimaksudkan, beliau berkata, sejak gerakan menjatuhkan menteri besar itu didedahkan, 25 November lalu, pihaknya tidak pernah menyatakan nama Adun Umno yang terlibat.

"Saya tidak pernah mendedahkan nama lima Adun ini, namun dengan kemahiran yang ada pada SPRM, mereka dapat mengesan wakil rakyat terlibat dan kelima-lima telah pun dipanggil, semalam.

"Individu pertama memberi keterangan adalah Datuk Sham pada jam 12 tengah hari diikuti yang lain pada sebelah petang diakhiri oleh Dr Jurij dan saya sahkan bahawa lima Adun Umno inilah yang telah ditemui secara bersemuka oleh Adun Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari," katanya kepada pemberita, hari ini.

Daripada lima wakil rakyat itu, Shahrul Zaman merupakan bekas Exco Kerajaan Negeri, Sham wakil rakyat senior yang berjaya mempertahankan kerusi sejak PRU11 sementara tiga yang lain merupakan wakil rakyat baharu yang dicalonkan pada PRU14 lalu.

Kesemua mereka ditemui pada tarikh, waktu dan lokasi berbeza iaitu bermula 2 November, 14, 21 dan 23 November serta 1 Disember lalu di beberapa lokasi di Ipoh, Padang Rengas, Taiping dan Cheras.

Saarani berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang kepastian, mengapa wakil rakyat ini yang dipilih oleh Exco terbabit.

Bagaimanapun katanya, mereka mendedahkan sekiranya gerakan itu berjaya, dua daripada mereka ditawarkan menjadi Exco atau mana-mana jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Itu ada disebutkan dalam akuan bersumpah mereka, tetapi saya yakin dan percaya, semua 25 wakil rakyat saya (Umno) rasional dan tidak terikut rentak yang dimainkan.

"Saya sebutkan kepada mereka, jika nak jadi kerajaan semula kita tunggu pilihan raya dan bekerja kuat untuk menang," katanya.