Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga N Parameswaran

Iklan
Seri Paduka berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada negara dan menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada Wisma Putra. - Foto Facebook Istana Negara

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Diplomat Datuk N Parameswaran yang meninggal dunia Jumaat lepas.

Menerusi catatan di Facebook Istana Negara, turut menzahirkan ucapan sama adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Iklan
Iklan

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

"Seri Paduka berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada negara dan menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada Kementerian Luar (Wisma Putra)," menurut catatan itu hari ini.

Iklan

Mendiang Parameswaran,74, berpengalaman lebih 40 tahun berkhidmat sebagai diplomat termasuk di Amerika Syarikat, Eropah, Afrika dan Asia serta pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura dari 2003 hingga 2010.

Mendiang juga pernah dilantik sebagai Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland pada 1986 sebelum dilantik sebagai duta Malaysia ke Vietnam pada 1990.

Iklan

Bersama Wisma Putra, mendiang yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak pernah memegang jawatan Setiausaha Bahagian (Hal Ehwal Politik Pelbagai Hala) pada 1993 sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha II Kementerian Luar. - Bernama