KOTA BHARU - Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu berani mengemukakan calon Menteri Besar Kelantan sekiranya serius ingin menumbangkan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, tindakan itu membolehkan rakyat membuat pilihan tepat parti yang layak menerajui tampuk pentadbiran negeri pada masa depan.
"Dari segi demokrasi rakyat ada hak untuk memilih, kerajaan negeri tiada hak untuk menyekat.
Tetapi sebelum membuat keputusan rakyat kena tengok jika mereka (pengundi) tidak suka kepada Pas, nak tukar kerajaan nak bagi kepada siapa.
"Sebab di Kelantan hanya ada tiga pilihan iaitu Pas, BN atau PH.
Semua ini sudah ada rekod (pencapaian) termasuklah Pas, jadi buat perbandinganlah," katanya selepas mengulas rakaman video tular mengenai persoalan dilontarkan berkait isu siapa layak mentadbir Kelantan.
Menurutnya, sebelum membuat apa-apa keputusan rakyat mesti jelas mengenai calon-calon menteri besar bagi memudahkan penilaian dibuat dengan peneraju negeri ketika ini.
"Jika tiada pilihan menteri besar yang ditawarkan untuk menerajui Kelantan bagaimana rakyat hendak buat pemilihan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas berkata, parti itu masih lagi berusaha dan berharap kerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) dapat terus dipertahankan sehingga PRU15.
Katanya, bagaimanapun Pas sedia berdepan UMNO jika mereka terus berkeras untuk meninggalkan MN.