SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan mengapa peneroka dikorbankan susulan keputusan diambil Felda untuk mengurangkan bayaran Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil daripada RM1,500 kepada RM1,000 sebulan.
Katanya, selepas PRU14, walaupun kos sara hidup kini semakin meningkat terutama di luar bandar, Felda tetap dengan pendekatan mereka mengurangkan bayaran pinjaman tersebut.
Menurutnya, alasan Felda di bawah kerajaan PH mengambil pendekatan itu kerana cabaran kewangan bagi menampung komitmennya sebanyak RM500 juta setiap tahun bagi pinjaman itu tidak boleh diterima.
"Alasan PH, pengurangan bayaran bulanan dari RM1,500 kepada RM1,000 dapat menjimatkan Felda sebanyak RM167 juta setiap tahun. Apakah penjimatan RM167 juta setahun berbanding kenaikan hutang RM86 bilion dalam tempoh 10 bulan PH mengambil alih? Ataupun RM82 bilion yang dijarah dari Petronas tahun lepas.
"Besar sangat ke RM167 juta ini berbanding bajet tambahan sebanyak RM19.6 bilion yang diminta dalam parlimen minggu ini untuk tahun 2018 lepas kerana kerajaan PH terlebih belanja tahun lepas di mana Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sahaja diberi RM11.3 bilion iaitu 57.5 peratus dari bajet tambahan itu?" soalnya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam, Felda dalam satu kenyataan menjelaskan, keputusan mengurangkan bayaran Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil daripada RM1,500 kepada RM 1,000 sebulan tidak dapat dielakkan berdasarkan keadaan kewangan semasa Felda yang kritikal.
Jelasnya, Felda berdepan cabaran kewangan bagi menjelaskan komitmennya sebanyak RM500 juta setahun bagi Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil peneroka.
Ia menarik perhatian bahawa sehingga kini Felda telah menggunakan dana dalaman sekitar RM7.5 bilion untuk membiayai pinjaman peneroka.
Mengulas lanjut, Najib turut mempersoalkan ke mana perginya berpuluh bilion ringgit hasil penjualan aset negara oleh PH.
"Ini membuktikan bahawa kerajaan bukan tidak ada sumber kewangan walaupun sumbernya dari peningkatan hutang negara dan penjualan aset. Tetapi kerajaan PH tidak rela untuk kongsikan wang ini dengan peneroka-peneroka.
"Tidak melampau pun untuk PH agihkan sebahagian wang dari penjualan-penjualan aset ini termasuk RM8.2 bilion dari penjualan IHH Berhad kepada Jepun untuk tolong peneroka," katanya.