SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil inisiatif menganjurkan Bazar Pagi @27 Shah Alam di Jalan Bukit Raya 27/8, Seksyen 27 di sini bertujuan memberi peluang kepada peniaga menjana pendapatan.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, pembukaan bazar pagi itu juga diharap dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat khususnya di kawasan pentadbiran MBSA.
Menurutnya, operasi bazar pagi itu dilaksanakan pada setiap Ahad bermula jam 7 pagi sehingga 12 tengah hari.
"Bazar Pagi @27 Shah Alam ini menempatkan sebanyak 80 lot perniagaan yang menjual makanan dan minuman, bahan kering serta bahan mentah dengan memberikan peluang perniagaan kepada peniaga selain penduduk setempat dan sekitar negeri ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Shahrin berkata, penganjuran bazar pagi itu juga adalah selaras dengan prinsip ketiga matlamat pembangunan lestari (SDGs) iaitu penglibatan komuniti dalam membentuk masyarakat yang berdaya saing, berdikari dan mampan.
Dalam pada itu, Shahrin berkata, MBSA pada masa sama turut mengadakan Sesi Jelajah Platform Selangor (PLATS).
Kata beliau, kerajaan Selangor melalui Inisiatif Rakan Digital Selangor (RDS) telah melantik duta RDS untuk membantu perniagaan mikro penjaja dan peruncit mendaftarkan perniagaan mereka ke dalam Platform Selangor (PLATS).
"PLATS merupakan sebuah platform promosi dan direktori digital yang dibangunkan untuk menggerakkan ekonomi penjaja dan peruncit Selangor," ujarnya.
Jelas beliau, peniaga bazar pagi juga turut diberi pendedahan dengan pelaksanaan bayaran melalui imbasan QRPay.
"Pelanggan boleh membuat pembayaran kepada peniaga dengan mengimbas kod khas yang telah disediakan oleh peniaga.
"Kaedah transaksi tanpa tunai di Bazar Pagi @27 Shah Alam ini bukan sahaja menjimatkan masa pembeli, malah turut memudahkan peniaga untuk mengenal pasti aliran wang keluar masuk serta menjimatkan masa mengira kutipan harian perniagaan dengan lebih tepat," katanya.