Sekuriti makanan: Pertemuan kedua kerajaan, pemain industri ternakan

Iklan
Dr Adham Baba

KUALA LUMPUR - Pertemuan kedua antara kerajaan bersama pemain industri perternakan bagi mengumpulkan input untuk membantu menangani isu sekuriti makanan akan diadakan awal bulan depan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menerusi inisiatif terbabit, Dr Adham berharap MOSTI dapat terus menghubungkan pemain industri dengan teknologi-teknologi sedia ada seperti akuaponik, kecerdasan buatan (AI) dan Internet Benda (IoT) supaya boleh diguna pakai untuk mengurangkan kos pengeluaran mereka.

Iklan
Iklan

"Pada Rabu lepas (15 Jun) kita sudah mengadakan pertemuan pertama dengan kementerian terlibat dan seterusnya saya akan bertemu dengan penternak termasuk Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) pada awal bulan depan.

"Sebenarnya ada dua pendekatan boleh diambil dalam hal ini iaitu dengan bertemu mereka atau mereka sendiri (pemain industri) hadir ke tapak tertentu untuk melihat bagaimana teknologi sedia ada itu boleh digunakan sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Rangkaian Nasihat Sains Asia Tenggara (Sea San) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Iklan

Dr Adham menambah baru-baru ini, beliau telah menjemput Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ke kawasan pembangunan teknologi akuaponik di Perak, yang menggunakan sistem fertigasi baja nano dan tenaga solar dalam ternakan.

"Hasil teknologi yang diguna pakai, didapati kualiti produk lebih meningkat. Sebab itu perkara yang kita cuba bantu ialah menghubungkan bukan saja penternak malah 'growers' (penanam tanaman) kerana sumber bahan seperti jagung, kacang soya perlu diketengahkan selain ‘palm kernel expeller’ (PKE) yang boleh digerakkan sebagai satu daripada sumber makanan haiwan bagi menggantikan jagung," katanya.

Iklan

Sementara itu, Dr Adham berkata, Malaysia telah berusaha mencadangkan agar inisiatif ‘Open Science’ diwujudkan melalui Malaysia Open Science Platform (MOSP) sejak 2019 bagi membolehkan data mengenai amalan terbaik dalam industri dikongsi secara meluas dalam kalangan saintis.

"Data yang dikongsi ini bukan sahaja akan dapat membantu mewujudkan penyelesaian terhadap cabaran serta isu berkaitan ekonomi dan sosial tetapi juga membolehkan kita melihat amalan terbaik untuk digunakan memajukan industri," katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu mesyuarat Sea-San juga penting kerana dapat mempertemukan individu berpengalaman dalam pelbagai bidang dari Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam untuk membincangkan tentang kepentingan sains dalam menggubal sesebuah dasar demi kebaikan semua pihak.

Mengulas mengenai pelancaran MEASAT-3d iaitu satelit baharu MEASAT Satellite Systems Sdn Bhd pada Rabu (Khamis waktu Malaysia) ini pula, Dr Adham berkata, ia adalah satelit komunikasi yang membolehkan kawasan-kawasan terpencil di dalam negara dihubungkan dengan liputan perkhidmatan teknologi 4G, sebelum dinaik taraf ke 5G.

"Dengan satelit ini bermakna kita akan lebih terhubung antara kawasan-kawasan yang sebelum ini tidak dapat dihubungi melalui Internet dan ia akan berfungsi selama 15 tahun sebagai satelit komunikasi di angkasa," katanya.

MEASAT-3d yang menjadi satelit paling komprehensif dan kompleks dalam armada dimiliki MEASAT setakat ini, dibina atas model satelit Eurostar 3000 oleh Airbus dan dijadual dilancarkan dengan menggunakan roket Ariane 5 dari tapak pelancaran Agensi Angkasa Eropah di Kourou, French Guiana. - Bernama