Isu jenayah komersial antara fokus kajian MCPF

Iklan
Ayub (dua dari kiri) menyaksikan penyerahan watikah pelantikan Exco MCPF Pahang yang disampaikan Ramli pada majlis penyerahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada Isnin.

KUANTAN - Isu melibatkan jenayah komersial antara yang diberi perhatian oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencari jawapan dan menangani kes-kes penipuan yang terus berlaku di negara ini.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, kajian yang lebih menyeluruh akan dilakukan bagi mengenal pasti punca masih ramai yang menjadi mangsa penipuan tidak terkecuali golongan berpelajaran dan profesional sehingga mendatangkan kerugian jutaan ringgit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara itu perlu kepada penelitian dan pandangan pelbagai pihak termasuk pakar psikologi bagi mencari jawapan sebenar dan dapatan daripada kajian itu dapat membantu pihak polis merangka langkah-langkah proaktif dalam menanganinya.

"Kes-kes penipuan melibatkan penipuan tawaran pekerjaan di luar negara juga perlu diberi tumpuan supaya ia dapat ditangani dan tiada lagi rakyat negara ini terus terpedaya," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Barisan Exco MCPF Pahang di sini pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pahang, Senior Asisten Komisioner Noor Hisam Nordin dan Pengerusi MCPF Pahang, Datuk Yong Kim Hong.

Iklan

Ayub berkata, pihaknya turut memberi tumpuan terhadap isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar selain kemungkinan golongan itu turut direkrut sebagai 'tokan' dengan menjadikan pelajar lain sebagai sasaran.

"Pada masa sama, fokus turut diberikan dalam membina jati diri pelajar khususnya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai benteng untuk mengelak golongan itu terlibat dengan salah laku jenayah.

"Golongan itu perlu didedahkan dengan pengetahuan terhadap isu-isu jenayah yang berlaku dan langkah-langkah mengatasinya," katanya.

Tambah beliau, MCPF sebuah badan yang berperanan sebagai penghubung antara PDRM dengan komuniti dalam usaha meningkatkan kesedaran dan penglibatan awam terhadap usaha mencegah jenayah di negara ini.

"Kempen kesedaran jenayah dalam komuniti sangat penting kerana masyarakat perlu sedar dan tahu peranan mereka untuk memastikan persekitaran sentiasa selamat baik di rumah, kawasan perumahan, tempat kerja dan sebagainya.

"MCPF sentiasa mengumpul maklumat berkaitan termasuk kekuatan yang ada dalam komuniti dalam usaha mencegah jenayah," katanya.

Menurutnya, dalam komuniti ada pasukan sukarelawan termasuk Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

"Sekiranya mereka digembleng secara berstruktur, mereka dapat membantu pihak polis mencegah jenayah dalam kawasan masing-masing dengan lebih berkesan," katanya.