Maghribi taja 15 biasiswa pelajar Malaysia

Iklan

PUTRAJAYA - Kerajaan Maghribi bersetuju menaja 15 biasiswa bagi peringkat sarjana muda dan lima biasiswa lagi bagi peringkat sarjana kepada pelajar Malaysia yang berkelayakan mengikuti pengajian sarjana dan pascasiswazah di Maghribi pada tahun ini.

Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini berkata ia merupakan persetujuan terbaharu antara kerajaan Maghribi dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) di Malaysia pada Persidangan Antarabangsa Asia-Pacific Association for International Education (APAIE) 2019 yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Sebagai balasan, empat IPTS Malaysia bersetuju untuk menaja pelajar Maghribi bagi melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi di negara ini.

"Universiti Selangor (Unisel) bersetuju untuk menaja 100 peratus yuran pengajian kepada 16 pelajar Maghribi dengan permohonan terawal yang berjaya, manakala 50 peratus pengecualian yuran pegajian kepada 48 pemohon dan 25 peratus pengecualian yuran pengajian kepada 69 pemohon yang seterusnya," kata kenyataan itu.

Iklan

Bagi Asia University (AeU) pula, tajaan pengecualian penuh yuran pengajian ditawarkan kepada lima pelajar Maghribi yang berjaya bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan lima lagi tawaran bagi program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (BBA).

Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) pula bersetuju untuk menaja keseluruhan yuran pengajian kepada dua orang pelajar Maghribi yang ingin mengikuti program MBA atau Sarjana Teknologi Maklumat (MIT), katanya.

Iklan

Manakala, Kolej Islam As Sofa akan membiayai 10 biasiswa kepada pelajar Maghribi untuk mengikuti program Diploma Pengajian Islam selama dua tahun. - Bernama