BANK Rakyat meneruskan agenda memperkukuh budaya berintegriti dalam tadbir urus organisasinya dengan melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif baharu yang mendukung saranan kerajaan.
Pengerusinya, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar berkata, ia bertujuan untuk menggalakkan sistem kewangan yang progresif dan terangkum untuk membantu memenuhi keperluan ekonomi dan ‘Keluarga Malaysia’.
"Menjelang penghujung tahun ini, Bank Rakyat dijangka akan melengkapkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) yang akan memberi impak dalam menangani isu yang melibatkan tadbir urus, integriti dan antirasuah,” katanya semasa sesi taklimat ‘Keperluan Pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi’ yang diadakan dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) di Menara Kembar Bank Rakyat, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir pada sesi taklimat tersebut, Pengurus Besar Kanan (Operasi) IIM, Hamilye Sham Harun, Lembaga Pengarah Bank Rakyat dan Rakyat Management Services (RMS), Jawatankuasa Syariah, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat serta Jawatankuasa Pengurusan Bank Rakyat.
Beliau berkata, sesi taklimat itu dianjurkan bagi memupuk budaya tadbir urus, integriti serta antirasuah bukan sahaja kepada warga kerja, malah pihak berkepentingan Bank Rakyat selaras dengan Rangka Tindakan Bank Rakyat 2025 (BR25).
Abd Rani berkata, Bank Rakyat sedang berusaha untuk mendapatkan pensijilan MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) serta bekerjasama dengan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dalam program Certified Integrity Officer (CeIO), membangunkan Anti-Bribery and Corruption e-handbooks dan Anti-Bribery and Corruption e-Learning sebagai komitmen dalam menjamin kelestarian perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan.
"Bank Rakyat sentiasa menyokong dan mendukung penuh inisiatif kerajaan dengan memastikan tahap integriti dan etika tertinggi, seterusnya mematuhi undang-undang dan peraturan berkaitan antirasuah.
”Untuk mencapai objektif ini, Bank Rakyat juga telah membangunkan Anti-Bribery and Corruption Policy, melaksanakan penyataan komitmen pengurusan secara berterusan dan menyokong usaha antirasuah menerusi pengurusan risiko rasuah yang efektif, sistem kawalan dalaman, penilaian dan pemantauan serta sesi latihan dan komunikasi secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, antara inisiatif lain yang dilaksanakan oleh Bank Rakyat termasuk pelaksanaan Whistleblowing Policy Standard Operating Procedures, Fraud and Corporate Integrity Training 2022 yang meliputi program latihan berstruktur melibatkan seluruh warga kerja, poster, kempen serta Buletin Kesedaran Fraud dan Integriti Korporat yang dilaksanakan secara berterusan menerusi pelbagai saluran komunikasi.