KLANG - Polis sedang mengesan seorang pemandu lori yang bertindak samseng dengan memandu secara berbahaya dan merosakkan kenderaan milik seorang pengguna jalan raya dalam kejadian pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.45 pagi.
"Siasatan dijalankan mendapati ketika pemandu sebuah kereta jenis Toyota Vios melalui Jalan Raya Barat, berhampiran Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan, secara tiba-tiba sebuah lori dari arah belakang memotong garisan kembar dan memberhentikan lori tersebut di hadapan keretanya.
"Pemandu lori tersebut turun dari lori dan menghampiri kereta mangsa dan memarahi pengadu selain menendang kereta mangsa lalu terus beredar dari lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, kejadian tersebut telah dirakam menerusi kamera papan pemuka kereta mangsa.
"Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan atas kesalahan memandu secara gopoh atau cuai di jalan awam hingga membahayakan nyawa.
"Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat," katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh tampil ke mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
Pada Ahad, aksi samseng seorang pemandu lori yang memandu secara berbahaya sehingga hampir mengakibatkan kemalangan menjadi tular di media sosial.
Aksi pemandu lori terbabit dirakam menerusi video papan pemuka sebuah kereta berhampiran IPD Klang Selatan.
Menerusi rakaman video tersebut, pemandu lori itu dilihat berang setelah tindakannya memotong secara berbahaya ditegur pemandu kereta terbabit.