Pemain liga futsal IPT disaran perkuat KPT-PST Mustangs pada MPFL

Iklan
Pekan bersama para pemain Polimas yang menjuarai Sirkit Akhir Liga Super Futsal IPT 2022.

PEMAIN yang membantu pasukan masing-masing mengungguli saingan Liga Futsal Institusi Pengajian Tinggi (LFIPT) 2022, dinasihati terus menyumbang bakti bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)-PST Mustangs dalam Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).

"Selepas penyertaan KPT di MPFL tahun ini, saya dapati dalam kalangan para pemain futsal IPT tampil begitu bersemangat dalam saingan kali ini.

Iklan
Iklan

"Saya akui bahawa ramai dalam kalangan pemain yang sangat berbakat dilahirkan dari kejuaraan ini.

"Kita harap para pemain ini tidak menyarung jersi pasukan lain sebaliknya terus kekal menyahut cabaran bersama dengan pasukan KPT-PST Mustangs pada MPFL musim depan,” kata Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dr Pekan Ramli.

Iklan

Sementara itu, Politeknik Malaysia (Polimas) melakar sejarah sendiri apabila menjuarai Liga Super LFIPT 2022 buat kali pertama selepas sirkit akhir kejuaraan melabuh tirai di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada Sabtu.

Bagaimanapun, kejayaan Polimas merangkul kejuaraan tersebut dibantu kemenangan penyandang juara Universiti Teknologi Mara (UiTM) 7-4 ke atas Kolej Politech Mara (KPTM) Bangi sehari sebelum itu.

Iklan

Kekalahan mengejut KPTM Bangi menyaksikan status pendahulu itu dirampas Polimas selepas melakar kemenangan besar 8-1 ke atas pasukan sama pada Sabtu.

Naib juara saingan kali ini menjadi milik UiTM yang berstatus juara tiga kali berturut-turut, manakala KPTM Bangi ketiga.

Saingan juga menyaksikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang di kedudukan tercorot Liga Super akan beraksi di Liga Premier musim depan.

Sementara itu, saingan kejuaraan Liga Premier menyaksikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga muncul juara buat kali pertama selepas diturunkan pangkat dari Liga Super musim lalu.

Naib juara pula menjadi milik Universiti Utara Malaysia (UUM) manakala Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ketiga.

Sementara itu, UPSI mengetuai empat pasukan Liga Premier, UUM, Uniten dan Management and Science University (MSU) beraksi di Liga Super musim depan.

Dalam pada itu, enam pasukan Liga Premier yang tersingkir iaitu UPM, UTM, UTeM, UniSZA, UniMAP dan UMT akan beraksi kembali pada pusingan kelayakan musim depan.