Misi buru emas kejuaraan Skuasy Remaja Dunia

Iklan
Aira kini bertekad untuk memburu emas pada Kejohanan Skuasy Remaja Dunia di Nancy, Perancis pada Ogos selepas mengungguli Kejohanan Skuasy Remaja Asia di Pattaya, Thailand pada Ahad.

AIRA Azman kini bertekad untuk memburu emas pada Kejohanan Skuasy Remaja Dunia di Nancy, Perancis pada Ogos selepas mengungguli Kejohanan Skuasy Remaja Asia di Pattaya, Thailand pada Ahad.

Pemain berusia 18 tahun itu, yang juga merupakan adik kepada pemain kebangsaan Aifa Azman, berkata, kejayaan meraih gelaran kelima di Kejohanan Skuasy Remaja Asia tersebut, telah menyuntik semangatnya untuk terus mencetak nama di peringkat lebih tinggi.

Iklan
Iklan

"Kemenangan ini (semalam) merupakan gelaran kelima buat saya, jadi yang paling motivasikan saya semalam adalah, saya sendiri nak buat rekod memenangi kesemua kategori (bawah 13, 15, 17 dan 19 tahun) untuk kejohanan Remaja Asia.

"Saya rasa tiada masalah bagi sekiranya pihak kejurulatihan meletakkan harapan tinggi selepas ini. Saya akan ambil satu demi satu langkah untuk mencapai sasaran, selain cuba sedaya upaya untuk meningkatkan ranking, kerana saya masih muda,” katanya pada Isnin.

Iklan

Aira yang kini berada di kedudukan ke-104 dunia, berkata, bangga dapat meneruskan dominasi Malaysia bagi kategori bawah 19 tahun, setelah Chan Yiwen muncul juara edisi 2018 dan 2019 ketika kali terakhir kejohanan itu diadakan sebelum penularan pandemik Covid-19 pada 2020.

Mengulas lanjut mengenai kejayaan tersebut, pemain kelahiran Kedah itu berkata, sentiasa menilai semula video perlawanan lepas, dan memperbaiki kelemahan yang ada sebagai strategi sebelum menghadapi mana-mana kejohanan.

Iklan

Sementara itu, Pengarah Persatuan Raket Squasy Malaysia (SRAM) Mejar (B), S Maniam berkata, Aira merupakan seorang pemain yang sangat bersemangat dan seorang yang mempunyai semua ciri yang diperlukan untuk menjadi pemain terbaik di masa hadapan.

"Aira seorang pemain cemerlang yang berpotensi, beliau amat meminati sukan ini dan saya latih beliau dengan keras. Saya rasa Aira akan menjadi antara empat pemain wanita terbaik negara dalam masa setahun lagi,” katanya.

Maniam juga amat berbangga dengan kejayaan keseluruhan yang dicapai oleh pasukan junior kebangsaan di Pattaya dengan memenangi empat daripada lapan gelaran di kejohanan itu, selain lima pemain di tempat kedua.

"Keputusan kita nampak di sini, kita ada 17 pemain pada suku akhir dan sembilan di perlawanan akhir, ada yang mereka bertemu antara satu sama lain, jadi ia merupakan petunjuk yang sangat baik untuk pemain kita.

"Kita jangka memenangi antara tiga hingga lima emas tapi kita mendapat empat emas, malangnya kita punya pemain terbaik bagi kategori wanita bawah 17 tahun U Thanusaa, cedera semasa perlawanan. Dia memang kita punya sasaran untuk emas, kalau dia tak cedera mesti dia dapat emas,” katanya lagi.

Pada masa sama, Maniam juga berharap kesemua pemain junior akan dapat memperbaiki lagi permainan mereka dan mengikuti jejak langkah pemain skuasy nombor satu negara Ng Eain Yow, untuk cemerlang di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, Joachim Chuah, C Ameeshenraj, Harith Danial dan Low Wa Sern akan diangkat sebagai pemain skuad sokongan lelaki kebangsaan, manakala Aira, Yee Xin Ying dan Harleein Tan akan dimasukkan ke dalam skuad sokongan wanita. - Bernama