BALIK PULAU - Kerajaan negeri digesa menjalin kerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk memperkemas dan menaik taraf infrastruktur serta pembangunan zon dan taman perindustrian di negeri masing-masing.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah itu untuk menarik pelaburan baharu dari luar negara ke negeri-negeri berkenaan sebagai usaha memberi manfaat kepada semua rakyat.
"Usaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) adalah membawa masuk pelaburan ke negeri-negeri di seluruh Malaysia dan kita tidak mahu kesenjangan pertumbuhan ekonomi yang hanya tertumpu di Lembah Klang dan negeri tertentu sahaja.
"Kami mahu negeri-negeri lain seperti Pantai Timur serta Sabah dan Sarawak turut dapat menikmati pembangunan.
"Oleh itu, kita mahu kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf infrastruktur serta pembangunan zon dan taman perindustrian mereka,” katanya kepada pemberita pada Isnin.
Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Pusat Inkubator Kraf Balik Pulau di sini.
Turut hadir Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Mansor Othman.
Mohamed Azmin berkata, pada tahun lepas, Kedah mencatatkan prestasi luar biasa dari segi pelaburan di negeri itu.
Katanya, ini secara tidak langsung telah memberi peluang kepada anak-anak Kedah untuk mendapat pekerjaan dan tidak perlu berhijrah ke negeri atau daerah lain.
"Kami di MITI turut melakukan perkara sama pada tahun sebelumnya iaitu pelaburan dari Korea Selatan di Kota Kinabalu Industrial Park yang memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah untuk mendapat pekerjaan yang berkualiti.
"Sebenarnya inilah peranan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan MITI untuk memastikan pembangunan dan pelaburan itu dapat disebar luas ke semua negeri supaya matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama dapat dicapai dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya. - Bernama