PUTRAJAYA - Dua lelaki menarik nafas lega selepas Mahkamah Rayuan pada Isnin mengetepikan hukuman penjara 23 tahun dan 20 sebatan kerana memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 51.7 kilogram (kg), tujuh tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Hanipah Farikullah memerintahkan Lee Yuan Cheong, 32, bekas pekerja restoran dan Poen Thiam Leong, 49, penjual buah-buahan dilepas dan dibebaskan selepas mendapati sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi adalah tidak selamat.
"Ini adalah keputusan sebulat suara. Setelah membaca rekod rayuan, mahkamah dapati terdapat kekhilafan oleh Hakim Mahkamah Tinggi yang sabitan dan hukuman dijatuhkan terhadap mereka adalah tidak selamat.
"Oleh itu, sabitan dan hukuman diketepikan. Kedua-dua kamu (perayu) dilepaskan dan dibebaskan," kata Hanipah yang bersidang bersama-sama Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Seri Mariana Yahya.
Pada mulanya, kedua-dua lelaki itu bersama Chong Yew Chai, 54, didakwa atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine masing-masing seberat 93.04 gram (0.093 kg) dan 51,589 gram (51.6 kg) di Jalan Tasik Dedap 1, Pantai Sepang Putra, Sungai Pelek, Sepang di sini pada 5 petang, 31 Ogos 2015.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.
Bagaimanapun, di peringkat akhir kes pembelaan, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah meminda pertuduhan mengedar kepada memiliki di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan maksimum 10 sebatan.
Pada 26 April 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama manakala pertuduhan kedua, dipenjara 23 tahun dan 10 sebatan.
Mahkamah itu turut memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh tangkap 31 Ogos 2015 dan mereka akan menjalani hukuman penjara 23 tahun dan 20 sebatan.
Yew Chai tidak merayu terhadap sabitan dan hukuman itu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Eyu Ghim Siang manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Low Wei Loke mewakili kedua-dua perayu. - Bernama