SHAH ALAM - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menegaskan perlu ada bukti baharu yang boleh dipercayai sebelum meneruskan operasi mencari bangkai pesawat MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan ke Beijing, China, lapan tahun lalu.
Ka Siong bagaimanapun berkata, beliau telah mengarahkan pegawai di kementerian itu untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada Ocean Infinity (OI) sebelum berunding dengan Australia dan China untuk langkah seterusnya.
"Pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif OI, Oliver Plunkett dan wakil waris mangsa MH370 di pejabat saya di Putrajaya hari ini (Isnin).
"Plunkett berkongsi mengenai perkembangan terkini OI dari segi teknologi, tenaga kerja dan keupayaan mereka berbanding lima tahun lalu.
"Beliau turut berkongsi kesediaan OI untuk menyambung semula operasi pencarian MH370 berdasarkan perjanjian 'no cure, no fee', di mana pembayaran hanya dibuat jika serpihan pesawat tersebut berjaya ditemui," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.
Turut hadir pada pertemuan berkenaan adalah Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Pada 8 Mac 2014, pesawat yang membawa seramai 227 penumpang dan 12 kru itu hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing.
Seterusnya, pada 29 Mei 2018, OI mengesahkan syarikat itu telah menamatkan pencarian dan mengumpul data di kawasan membabitkan lebih 112,000 kilometer persegi.