PELUMBA berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis berjaya merangkul pingat perak dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa lelaki di Kejohanan Berbasikal Trek Asia di New Delhi, India, hari ini.
Perlumbaan yang berlangsung di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi itu menyaksikan Muhammad Fadhil mencatat masa 1 minit 01.639 saat (s).
Iklan
Iklan
Yuta Obara dari Jepun menjuarai acara itu dengan catatan 1:01.118s, manakala pelumba tuan rumah, Ronaldo Singh Laitonjam meraih gangsa selepas mencatatkan 1:01.798s.
Sementara itu juara acara 500 meter ujian masa Nurul Izzah Izzati Mohd Asri gagal meneruskan prestasi cemerlangnya selepas tersingkir di peringkat suku akhir acara pecut individu wanita.
Nurul Izzah tewas 1-2 kepada Park Ji Hae dari Korea Selatan manakala seorang lagi wakil negara, Anis Amira Rosidi juga tumbang dengan keputusan sama, kepada rakan senegara Ji Hae, Cho Sunyoung.
Kategori junior pula menyaksikan Zulfahmi Aiman Zulkarnain turut membawa pulang pingat perak bagi perlumbaan scratch lelaki.
Kim Hwarang dari Korea Selatan memenangi emas manakala pelumba India, Birjit Yumnam menamatkan saingan dengan pingat gangsa. - Bernama