MARANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyelar tuduhan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau cuba membodek Tun Dr Mahathir Mohamad.
Abdul Hadi berkata, kenyataannya tempoh hari adalah ikhlas dan merupakan satu kebenaran justeru, tidak timbul isu bodek-membodek kerana tidak pernah mengimpikan apa-apa habuan atau jawatan seperti yang diidamkan segelintir pihak lain.
"Saya tidak minta jadi perdana menteri. Orang yang minta jadi perdana menteri yang membodek. Memang sikap beliau (Dr. Mahathir) tegas.
"Bukan sahaja di dalam negara tetapi juga peringkat antarabangsa termasuk dalam isu hubungan dengan Israel dan kita sokong ketegasan itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Maahad Tahfiz Asy-Syatibi di Kampung Alur Lit, Bukit Payong di sini petang tadi.
Hadir sama, Yang Dipertua Pas Marang, Yahaya Ali.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Marang itu menyangkal dakwaan Nurul Izzah Anwar yang menyifatkan Dr Mahathir sebagai diktator sebaliknya berpendapat perdana menteri bersikap tegas kerana berhadapan dengan barisan kabinet yang lemah.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai sikap kalangan pemimpin PH yang melabel Dr Mahathir sebagai diktator, Abdul Hadi memilih untuk tidak mencampuri urusan rumah tangga parti lain.
"Itu terpulang kepada parti mereka sendiri, saya tidak mahu campur, hal masing-masing. Barangkali kalau sesebuah rumah, orang luar nampak rumah itu senget, tetapi orang dalam rumah tidak sedar dan tak tahu rumah senget atau tidak," katanya.