KUANTAN - Empat penghuni asrama sebuah rumah anak yatim dan miskin di sini termasuk tiga beradik yang dilaporkan hilang selepas melarikan diri dari rumah kebajikan itu ditemukan selamat di rumah bapa saudara mereka di Kampung Kempadang di sini pada malam Isnin.
Semua remaja berusia 13 hingga 15 tahun itu ditemui berada di rumah itu kira-kira jam 10 malam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya ke rumah berkenaan untuk mengesan remaja terbabit selepas mereka dilaporkan melarikan diri dari rumah kebajikan juga di Kampung Kempadang pada awal pagi hari yang sama.
"Ketika ditemui lelaki berkenaan (pemilik rumah) mengakui kesemua mereka berada dalam jagaannya di rumah itu.
"Remaja terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut," katanya.
Kehilangan empat remaja itu disedari penyelia asrama berusia 35 tahun selepas dimaklumkan penghuni asrama lain pada jam 12.30 tengah malam.
Usaha mengesan remaja terbabit segera dilakukan selepas pihak polis menerima laporan berhubung kehilangan mereka.
Berdasarkan siasatan awal polis, remaja terbabit dipercayai melarikan diri melalui pintu belakang asrama kerana tidak berpuas hati dengan penyelia yang melarang mereka menggunakan telefon bimbit.