ISKANDAR PUTERI - Seramai 1,151 anak yatim dan yatim piatu akibat Covid-19 dibantu menerusi program Anak Johor Prihatin dengan peruntukan sebanyak RM3 juta sejak April lalu.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin Nisa Ismail berkata, daerah Johor Bahru merekodkan jumlah tertinggi seramai 432 orang, diikuti Kulai (117) dan Muar (116).
Seterusnya daerah Batu Pahat (99), Tangkak (92), Kota Tinggi (92), Pontian (78), Segamat (69), Kluang (41) dan Mersing (15).
"Antara bantuan diberikan ialah bantuan wang tunai berjumlah RM100 sebulan kepada anak yatim dan yatim piatu hingga mereka tamat persekolahan.
"Terdapat juga bantuan tunai RM2,000 setahun kepada anak yatim piatu yang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
"Selain itu turut diberikan bantuan simpanan pendidikan dan perlindungan insurans sehingga berumur 21 tahun khas untuk anak yatim piatu Covid19. Bantuan sokongan moral turut disediakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada sidang Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar di sini pada Selasa.
Khairin Nisa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom berkata, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim yang melaksanakan Anak Johor Prihatin masih lagi menerima permohonan baharu.
"Semakan serta siasatan sedang dilakukan bagi memastikan penerima bantuan adalah orang yang benar-benar layak untuk dibantu.
"Kerajaan negeri memandang serius anak yatim piatu akibat pandemik Covid-19. Justeru program Anak Johor Prihatin dilaksanakan.
"Ia merupakan program jangka panjang bagi membantu anak yatim dan yatim piatu akibat Covid-19 demi menjaga kebajikan dan pendidikan masa depan hingga mereka berusia 21 tahun," katanya.