Tempuh perjalanan lima jam hantar penyertaan peraduan

Iklan
Siti Juliana (tiga dari kiri) bersama suaminya, Ahmad Fauzi Mohd Zin, 51, dan anak bongsunya, Ammir Qayyum menghantar penyertaan Peraduan Kumpul dan Menang Sinar Harian pada Ahad. Kedatangan mereka sekeluarga disambut oleh Eksekutif Pemasaran Sinar Harian, Siti Farihan Ismail (kanan).
SHAH ALAM – Sebuah keluarga dari Perak sanggup menempuh perjalanan selama lima jam dari Manjung, Perak semata-mata untuk menghantar penyertaan Peraduan Kumpul dan Menang Sinar Harian (kategori penyertaan kreatif) ke Ibu Pejabat Kumpulan Karangkraf di Seksyen 15 di sini pada Ahad.

Siti Juliana Jamil, 51, berkata, penyertaan kreatif yang dihantar itu adalah cetusan idea daripada lima anaknya iaitu Aliff Irsyaduddin, 25; Azeem Izharuddin, 23; Afiz Muhammad Emir, 21; Aina Nur Syafeeza,16, dan Ammir Qayyum Ahmad Fauzi,10.

"Saya memang minat untuk menyertai peraduan sejak remaja lagi. Tak sangka juga anak-anak turut ikut jejak langkah yang sama,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan
Iklan

Siti Juliana yang bertugas sebagai guru Penolong Kanan (PK) Pentadbiran di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Baharu, Pantai Remis berkata, sebanyak enam penyertaan kreatif dihantar hasil cetusan idea bersama anak-anaknya.

"Kalau menang pun rezeki anak-anak sebab mereka begitu bersemangat untuk menyiapkan hasil kreatif mereka.

Iklan

"Sebab itu bagi menghargai usaha itu, kami sanggup hantar penyertaan ini terus ke pejabat Sinar Harian,” katanya.

Tambahnya lagi, meskipun dia terlepas untuk menyertai peraduan edisi pertama dan kedua, pelanggan setia akhbar Sinar Harian itu bertekad mahu menggunakan peluang yang ada untuk menyertai peraduan berkenaan kali ini.

Iklan

"Saya melanggan akhbar ini sejak sekian lama, bukan setakat yang cetak malah terbitan Premiumnya turut saya ikuti dan jadikan bahan bacaan seluruh ahli keluarga, jadi tak salah kalau saya mahu mencuba,” katanya.

Jelasnya lagi, sebagai guru dia turut menggunakan akhbar Sinar Harian sebagai sumber rujukan dan bahan untuk pengajaran di sekolah.

"Saya mengajar pendidikan Islam, seni visual, sejarah dan juga bahasa Arab.

"Jadi banyak bahan saya peroleh daripada Sinar Harian untuk sesi pembelajaran di kelas termasuk sesi Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR),” katanya.

Menurut Siti Juliana, anak-anaknya juga dididik untuk membaca akhbar sejak dari kecil dan menggunakan medium itu untuk menambah ilmu pengetahuan terutama isu semasa.

"Sebenarnya peraduan yang diadakan ini amat bertepatan kerana usaha akhbar ini bukan sahaja untuk mencambah ilmu tetapi turut menghargai pembaca setianya,” katanya.