KUALA TERENGGANU - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan membaik pulih dan menyelenggarakan kolam di Dataran Shahbandar yang tidak berfungsi dan terbiar sejak empat tahun lalu.
Datuk Bandar, Rosli Latif berkata, kolam yang sebelum ini pernah menjadi tarikan di kawasan rekreasi dan tumpuan awam itu telah dibersihkan pada 15 Jun lalu.
"Kerja-kerja pembaikian dan penambahbaikan kolam akan dibuat segera. Kerja-kerja ini memerlukan peruntukan kira-kira RM250,000 meliputi kos penggantian pam, lampu, pembinaan landskap dan lain-lain.
"MBKT akan melaksanakan kerja-kerja ini mengikut keupayaan kewangan MBKT," katanya yang menggalas jawatan Datuk Bandar bagi menggantikan Rozali Salleh yang dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri, berkuatkuasa pada 1 Jun lalu.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengunjung dan orang awam supaya memainkan peranan menjaga kebersihan dan keindahan bandar Kuala Terengganu.
"Tanggungjawab menjaga kebersihan dan keindahan bandaraya Kuala Terengganu bukan hanya terletak kepada MBKT, tetapi seluruh warga bandaraya dan masyarakat," katanya.
Baru-baru ini tular di media sosial Facebook gambar kolam di Dataran Shahbandar itu yang didakwa terbiar dan tidak diselenggara.