MAFI jamin bekalan ayam kembali stabil

Iklan
Ronald Kiandee (dua dari kiri) menunjukkan harga ayam yang dijual di pusat jualan Bismi Empire Sdn Bhd, pada Selasa.

ALOR SETAR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bekalan ayam kembali stabil dan masalah kekurangan bekalan tidak akan berulang lagi.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, situasi ini berdasarkan tinjauan pihak kementerian di ladang dan kilang pemprosesan ayam di seluruh negara.

Iklan
Iklan

Katanya, penternak juga telah mengambil langkah mengembalikan pengeluaran mereka pada tahap maksima dan memberi jaminan bahawa bekalan ayam mencukupi.

"Penternak tempatan kini beroperasi pada tahap maksimum bagi mencapai semula keupayaan 106 peratus pengeluaran yang pernah dicapai sebelum ini, sehingga membolehkan ayam dieksport," katanya ketika sidang media selepas membuat lawatan di ladang dan kilang Bismi Empire Sdn Bhd (Bismi) di sini pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, negara memerlukan kira-kira 1.8 hingga dua juta ekor ayam setiap hari bagi memenuhi permintaan pengguna.

"Keperluan ini yang kita beri keutamaan terlebih dahulu sebelum kita berbincang untuk memulakan semula eksport ayam," katanya.

Iklan

Sementara itu, ketika ditanya mengenai harga ayam yang dijangka naik apabila diapungkan mulai Julai ini, beliau berkata, kementerian akan memantau harga ayam supaya tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan.

"Selepas ini harga ayam bakal ditentukan pasaran dan dijangka dijual melebihi RM8.90 sekilogram berikutan kerajaan turut menarik balik subsidi sebanyak RM1.40 yang diberikan kepada penternak sebelum ini.

"Selepas apungan ini, harga ayam akan naik ikut harga pasaran. Subsidi yang ditarik balik ini, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ia akan diolah dalam bentuk bantuan tunai secara terus kepada golongan B40," katanya.

Ronald juga berkata, kerajaan juga membenarkan import lembu hidup dibuat bagi memastikan bekalan lembu menjelang Aidiladha ini mencukupi, namun ternakan itu perlu menjalani proses kuarantin yang ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.