KUALA LUMPUR - Seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenama Toyota Alphard yang videonya tular kerana meludah di Lebuhraya Karak dua bulan lepas, dijatuhi hukuman denda RM400 Mahkamah Majistret Selayang di sini pada Selasa.
Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu ke atas peniaga restoran Lim Koh Ching, 44, yang mengaku melakukan mudarat awam dengan meludah melalui tingkap pemandu di Lebuhraya Karak arah Bentong, Gombak pada jam 3.47 petang 30 April lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan dihukum mengikut Seksyen 290 kanun sama yang membawa hukuman maksimum denda RM400.
Tertuduh membayar denda itu. Bagaimanapun, Koh Ching mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan memandu dengan cara melulu serta berbahaya kepada orang awam pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu lima tahun dari tarikh sabitan.
Koh Ching turut minta dibicarakan atas pertuduhan memandu kenderaan itu di laluan kecemasan mengikut Kaedah 53(1) Lalu Lintas 1959 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM2,000 jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Abdul Hilmi menawarkan jaminan RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan dia menanggung keluarga.
Mahkamah membenarkan Koh Ching diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 September ini untuk sebutan semula kes.
Pada April lepas, tular video berdurasi 2.25 minit di laman sosial Facebook yang memaparkan sebuah MPV jenis Toyota Alphard berwarna putih dipandu secara berbahaya dengan memotong di lorong kecemasan dan melakukan provokasi kepada pengguna jalan raya lain. - Bernama