KDN siasat pemberian kad UNHCR kepada individu bukan pelarian

Iklan
KDN menjalankan siasatan berhubung pemberian kad UNHCR kepada individu yang bukan pelarian dari negara bergolak. - Gambar hiasan/Foto AFP

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjalankan siasatan berhubung pemberian kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) kepada individu yang bukan pelarian dari negara yang bergolak.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya sedang mengumpulkan bukti-bukti kukuh sebelum sebarang tindakan diambil kepada pihak yang didapati terlibat dalam kegiatan tersebut.

Iklan
Iklan

"Setakat ini saya masih lagi sedang mencari banyak bukti-bukti untuk memastikan apa yang saya katakan ini bukan masalah satu atau dua orang.

"Satu atau dua orang mungkin boleh kata mereka silap tetapi kalau ada banyak bukti, silap apa lagi kalau ada banyak. Ada sesuatu yang mereka cuba sorokkan daripada kita," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kontrak Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) di sini pada Selasa.

Iklan

Pada 28 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan KDN mempersoalkan tindakan UNHCR memberikan kad untuk pelarian tersebut kepada beberapa individu warga Indonesia.

KDN menerusi operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen berjaya mengesan beberapa individu dari negara yang tidak bergolak didapati memiliki kad pelarian yang dikeluarkan UNHCR.

Iklan

Mengulas lanjut, Hamzah menegaskan sebagai sesiapa sahaja yang tinggal di Malaysia wajib mematuhi undang-undang yang ditetapkan sebagai sebuah negara berdaulat.

"Kita sebagai sebuah negara merdeka patut yakin dengan undang-undang kita, jadi bila sampai masanya nanti saya akan buat keputusan untuk ambil tindakan sewajarnya," ujarnya.