JAGUH basikal trek negara, Fadhil Zhonis mengakui sedikit kecewa apabila gagal membawa pulang pingat emas dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di New Delhi, India.
Bagaimanapun pelumba kelahiran Selangor itu berkata, dia tetap berpuas hati dengan pencapaiannya yang berjaya mempertahankan pingat Perak pada edisi lalu meskipun ia bukan tugas mudah tatkala lawannya bukan calang-calang iaitu pemenang emas 2020, Andrey Chugay, wakil tuan rumah, Ronaldo Singh Laitonjam dan jaguh Jepun, Yuta Obara.
"Alhamdulillah saya dapat menghadiahkan perak buat pasukan Malaysia walaupun saya meletakkan sasaran meraih emas dalam acara ini di ACC.
"Hasrat saya tidak kesampaian dan saya tumpas kepada pelumba yang lebih baik pada kejohanan ini," katanya.
Dalam masa yang sama, Fadhil turut mengakui bahawa dua perlumbaan intensiti tinggi sebelum itu iaitu keirin dan pecut berpasukan menyebabkan dia sedikit letih ketika beraksi dalam acara kegemarannya.
"Ketika hendak turun memanaskan badan semuanya berjalan lancar walaupun sebelum itu saya sedikit tertekan melihat kehadiran Chugay, pelumba tuan rumah (Ronaldo Singh Laitonjam) melakukan catatan yang baik dalam pecut berpasukan.
"Begitu juga dengan kehadiran Obara yang mempunyai catatan yang baik sejak di Kejohanan Dunia lagi, tetapi saya sudah berikan yang terbaik," kata pelumba berusia 25 tahun itu.
Pada aksi yang berlangsung di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi itu, Fadhil mencatatkan masa 1 minit 1.639 saat (s) ketinggalan di belakang pelumba Jepun, Yuta Obara yang meraih emas dengan catatan 1:01.118s.
Gangsa menjadi milik wakil tuan rumah, Ronaldo Singh Laitonjam dengan 1:01.798s.
Keputusan menyaksikan Fadhil menyamai pencapaian diraihnya pada ACC 2020 di Korea Selatan.
Untuk rekod, kali terakhir pelumba lelaki negara meraih emas dalam acara berkenaan ialah melalui Edrus Yunus pada 2012.