TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett pada Isnin mengumumkan Parlimen (Knesset) akan dibubarkan pada minggu depan yang akan menyaksikan Menteri Luar, Yair Lapid akan mengambil alih kepimpinan secara sementara.
Keputusan mengejutkan itu dibuat selepas kerajaan gabungan terdiri daripada lapan parti pimpinan Bennett berada di ambang kejatuhan kononnya kerana siri pembelotan dalam kalangan anggota mereka sendiri.
"Kami telah membuat keputusan yang tepat untuk Israel,” katanya sambil menambah Lapid akan menjadi perdana menteri di bawah kerajaan sementara tersebut sejajar dengan perjanjian perkongsian kuasa yang dicapai kedua-dua pemimpin berkenaan sebelum ini.
Lapid dalam satu kenyataan turut berterima kasih kepada Bennett kerana mengutamakan negara berbanding kepentingan peribadinya.
"Kegagalan kerajaan gabungan ini untuk kekal bertahan menunjukkan politik Israel memerlukan perubahan yang serius,” tegasnya.
Kedudukan kerajaan gabungan itu dikatakan semakin goyah selepas gagal mencapai kesepakatan tentang langkah yang diperbaharui untuk memastikan golongan pendatang Yahudi mendapat hak di bawah undang-undang Israel.
Bennett yang merupakan penyokong tegar projek penempatan haram Yahudi di Tebing Barat menyatakan beliau tidak boleh membiarkan langkah itu dihapuskan atas alasan ia boleh mewujudkan risiko kepada keselamatan dan kekacauan terhadap Perlembagaan.
Difahamkan, tindakan pembubaran kerajaan gabungan dalam jangka masa setahun itu bakal menyaksikan Tel Aviv mengadakan Pilihan Raya Umum Kelima dalam tempoh kurang empat tahun tanpa jaminan dapat menubuhkan pentadbiran baharu yang berdaya maju.
Akhbar Haaretz melaporkan pemilihan baharu tersebut dijadualkan berlangsung pada 25 Oktober depan.
Keputusan kaji selidik terbaharu menunjukkan Parti Likud pimpinan pemimpin pembangkang, Benjamin Netanyahu kekal sebagai parti paling popular di Israel, namun tidak menjamin ia boleh memberikannya kuasa majoriti untuk mengambil alih kepimpinan di Tel Aviv.
Sementara itu, Presiden badan pemikir, Israel Democracy Institute, Yohanan Plesner berpendapat keputusan untuk membubarkan Knesset jelas menunjukkan tadbir urus politik di Tel Aviv masih dilanda krisis, namun kerajaan gabungan berkenaan mencipta sejarah kerana turut dianggotai Parti Arab walaupun memerintah dalam tempoh yang singkat. - AFP