KUALA LUMPUR - Semua pihak perlu menggembleng usaha dan tenaga bagi menggilap potensi serta meningkatkan daya upaya belia kerana golongan ini mampu menjadi penggerak utama dalam era digitalisasi dengan memanfaatkan aplikasi digital untuk menjana sumber pendapatan atau peluang pekerjaan.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, belia juga memainkan peranan penting ke arah memacu pembangunan negara yang mampan dan inklusif pasca pandemik.
Beliau berkata, generasi muda perlu meneroka peluang untuk menceburi bidang-bidang baharu bagi memacu agenda pendigitalan selari dengan inisiatif MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang telah dilancarkan kerajaan Februari tahun lepas.
"Antara cabaran utama belia masa kini adalah perubahan kehendak pasaran yang semakin dinamik di seluruh dunia, khususnya pemadanan kemahiran. Belia perlu dilengkapi dengan kemahiran berasaskan teknologi digital melalui penyesuaian norma baharu dalam mendepani Revolusi Perindustrian 4.0,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA) berkata demikian ketika berucap pada program #RUANGBELIA Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin anjuran MASA di sini pada Selasa.
Beliau berkata, menerusi kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, pembangunan Model Baharu Pembangunan Belia yang holistik sudah pasti dapat menepati aspirasi belia dalam melahirkan pemimpin yang berdaya saing dan kalis cabaran masa depan di peringkat global.
Sementara itu Muhyiddin berkata, kerajaan juga perlu terus mendengar dan memberi perhatian terhadap suara dan pandangan generasi muda di peringkat akar umbi agar mereka dapat terus menyumbang ke arah perancangan dasar kerajaan dan pembangunan negara.
"Langkah ini penting untuk memastikan supaya segala dasar dan inisiatif kerajaan kekal relevan dengan mengambil kira aspirasi dan keperluan semasa belia yang menjadi antara golongan paling terkesan.
"Saya sendiri berpeluang bertemu dengan ramai anak muda di lapangan dari Semenanjung sehinggalah ke Sabah dan Sarawak... Saya turut mengadakan perjumpaan bersama pucuk pimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam memperkukuh landasan pembangunan golongan belia di negara kita,” katanya.
Muhyiddin berkata, sebagai kesinambungan Pelan Pemulihan Negara (PPN), MPN akan terus mengadakan siri libat urus untuk mengumpul pandangan dan input daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia ke arah pelaksanaan PPN 2.0 yang sedang dirangka.
"Melalui platform seperti ini #RuangBelia, saya berharap saudari sekalian dapat bersama-sama merungkai isu semasa, especially those bread and butter issues affecting the rakyat, serta memberi pandangan konstruktif yang boleh menyumbang kepada usaha pemulihan negara secara menyeluruh,” katanya. - Bernama