ALOR SETAR - Mayat seorang wanita warga emas ditemukan terapung oleh orang awam berhampiran pintu air Sungai Kedah, Taman Persisiran Ampang Jajar, dekat sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.18 tengah hari daripada seorang lelaki berhubung penemuan mayat berpakaian lengkap itu.
Menurutnya, polis yang tiba di lokasi kejadian telah mengeluarkan mayat daripada sungai dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk tindakan lanjut.
"Butiran Mangsa yang dikenal pasti adalah si mati tinggal di Shahab Permanent, Lorong Shahab, Alor Setar dan berusia 60-an.
"Semakan mendapati mangsa ada rekod dan membuat rawatan mental di Hospital Lama Alor Setar," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ahmad Shukri berkata, pihaknya masih lagi menunggu laporan bedah siasat ke atas mangsa dan belum mengenal pasti sama ada kejadian tersebut membabitkan unsur jenayah atau sebaliknya.
Bagaimanapun katanya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.