SINGAPURA - Berlaku peningkatan 23 peratus minggu ke minggu dalam jangkitan komuniti Covid-19 di Singapura, sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan penyebaran subvarian Omicron BA.4 dan BA.5 yang baharu, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu.
"Walaupun subvarian BA.2 masih menyumbang kepada sebahagian besar jangkitan Covid-19 kami, perkadaran jangkitan BA.4 dan BA.5 kian meningkat," kata kementerian itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Selasa.
MOH berkata, kira-kira 30 peratus daripada kes Covid-19 dalam komuniti minggu lalu adalah kes dengan subvarian BA.4 dan BA.5, berbanding 17 peratus dan 3.0 peratus masing-masing untuk dua minggu sebelumnya.
"BA.5 sahaja dianggarkan menyumbang kepada 25 peratus daripada semua kes minggu ini. Lonjakan dalam kes BA.4 dan BA.5 berkemungkinan berterusan, didorong oleh kebolehjangkitan yang lebih tinggi berbanding BA.2," tambahnya.
Berdasarkan bukti semasa di peringkat antarabangsa dan tempatan, MOH menunjukkan bahawa tahap sejauh mana teruk jangkitan BA.4 dan BA.5 adalah serupa dengan strain Omicron terdahulu.
"Langkah Pengurusan Selamat (SMM) semasa, termasuk keperluan untuk memakai pelitup muka semasa berada di ruang tertutup dan SMM Berbeza Vaksinasi untuk beberapa aktiviti berisiko tinggi, akan kekal," kata kenyataan itu.
MOH berkata, ia akan meneruskan pemantauan genomik untuk subvarian yang beredar di Singapura, termasuk memerlukan beberapa individu yang dijangkiti melakukan ujian swab tindak balas rantai polimerase tambahan yang dibiayai kerajaan untuk penjujukan genomik.
"Walaupun kami tidak melihat peningkatan ketara kes Covid-19 yang teruk di hospital kami, dan jumlah kes di unit rawatan rapi (ICU) kekal rendah, hospital awam kami tetap sibuk merawat pesakit bukan Covid-19, dan banyak hospital mengalami kekurangan katil yang tinggi," menurut kenyataan itu.
Kementerian mengingatkan bahawa vaksinasi dan penggalak merupakan benteng pertahanan penting. - Bernama