KOTA KINABALU - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah sedang menyiasat kes kematian bayi baru lahir di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas di sini pada Ahad lepas yang tular di media sosial.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin dalam kenyataan pada Rabu berkata, siasatan itu dijalankan secara terperinci dan telus oleh JKN Sabah.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, ibu kepada bayi berkenaan berada dalam keadaan stabil dan sedang diberi rawatan lanjut serta kaunseling oleh pihak hospital pada masa ini.
"Terlebih dahulu pihak JKN Sabah ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bayi ini.
"Pihak JKN Sabah mengambil perhatian serius mengenai kejadian ini dan sedang menjalankan siasatan terhadap semua maklum balas yang diterima bagi tujuan menambah baik mutu perkhidmatan kami," katanya.
Pada Selasa, tular di media sosial dakwaan seorang wanita yang merupakan anggota keluarga kepada ibu dan bayi berkenaan menuntut siasatan dilakukan bagi mengetahui sama ada terdapat unsur kecuaian dalam kejadian tersebut. - Bernama