4 anggota polis direman kes rasuah, bekal dadah kepada tahanan lokap

Iklan
Empat anggota polis memakai baju lokap jingga tiba di Makhamah Melaka di Ayer Keroh pada Rabu.

MELAKA - Empat anggota polis direman di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah RM12,000 daripada tahanan lokap.

Keempat-empat suspek berpangkat koperal dan lans koperal berusia antara 35 hingga 40 tahun itu direman selama tujuh hari.

Iklan
Iklan

Permohonan reman dibenarkan Majistret Mazana Sinin selepas mereka ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka ketika hadir memberi keterangan pada petang Selasa.

Kesemua suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi diiringi pegawai SPRM dengan menaiki dua kenderaan dan memakai baju lokap berwarna jingga.

Iklan

Difahamkan, mereka didakwa menerima suapan bagi membawa masuk barangan terlarang seperti rokok, dadah, tembakau dan makanan kepada tahanan dalam lokap tempat mereka bertugas.

Bayaran itu didakwa diterima daripada orang suruhan tahanan lokap yang dibuat melalui 20 transaksi secara tunai atau pindahan dalam talian di sebuah balai polis di daerah Alor Gajah antara 2019 hingga 2020.

Iklan

Kesemua suspek juga dipercayai menerima upah antara RM600 hingga RM9,000 sepanjang kesalahan itu dilakukan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009.