[VIDEO] Kerajaan diberi 24 jam umum pelan tangani isu subsidi: PH

Iklan
Laporan Sinar Harian

SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa agar kerajaan mengumumkan pelan menangani isu subsidi dan kos sara hidup dalam masa 24 jam.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, sekiranya kerajaan gagal berbuat demikian, menteri-menteri yang bertanggungjawab dalam isu kos sara hidup juga wajib meletakkan jawatan.

Iklan
Iklan

"Majlis Presiden amat risau dengan perkembangan isu kos sara hidup terutama selepas pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada Selasa bahawa subsidi bagi minyak masak botol, telur dan ayam akan dihapuskan mulai 1 Julai.

"Dalam keadaan ekonomi rakyat amat terkesan akibat pandemik Covid-19, kehidupan rakyat bakal bertambah parah apabila harga barang bakal meningkat,” katanya.

Iklan

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook dan Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Mengulas lanjut mereka berkata, kerajaan ketika ini juga masih belum mengumumkan sebarang mekanisme, dana serta garis masa pelaksanaan subsidi bersasar walaupun hanya tinggal lebih kurang seminggu hingga terhapusnya subsidi dan harga siling tersebut.

Iklan

Jelas mereka, ia tidak memberi banyak masa kepada rakyat untuk bersiap sedia menghadapi peningkatan kos sara hidup yang berkemungkinan meningkat berkali ganda.

"Ini bukan langkah yang proaktif mahupun bertanggungjawab. Ketua Pembangkang pernah menegur berkali-kali di Parlimen tentang kelewatan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) bermesyuarat serta mengambil tindakan tahun lalu.

"Malangnya, rakyat terus menyaksikan betapa lembabnya tindakan para menteri dalam menangani masalah kos sara hidup,” katanya.

Mereka menambah, PH juga akan mengambil beberapa tindakan termasuk mobilisasi massa bersama masyarakat sivil dan mana-mana pihak lain yang ingin bersama bagi menyuarakan kemarahan rakyat.