ATAS kertas nampak sukar, namun segala-galanya tidak mustahil.
Walaupun Thailand masih unggul sebagai kuasa besar sepak takraw dunia, skuad lelaki kebangsaan tetap perlu memberikan cabaran sengit pada Kejohanan Piala Raja Thailand di Bangkok dari 24 hingga 31 Julai ini.
Presiden Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) Datuk Suhaili Abdul Rahman menegaskan Malaysia tidak seharusnya menyasarkan naib juara di kejohanan itu dan berasa gentar dengan status Thailand dalam sukan itu.
"Anda mesti menyasarkan pencapaian tertinggi, jika anda tidak mendapatnya sekurang-kurangnya anda berusaha...kenapa nak sasar perak hanya kerana Thailand kuat?.
"Memang kita akui Thailand kuat tetapi apa salahnya kita bercita-cita tinggi? Kita lawan lah...itu saja, cuma mungkin cabaran hebat tetapi tak rugi jika kita mencuba," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sementara itu, Suhaili memberi jaminan bahawa MSC tidak akan mencampuri urusan pemilihan barisan kejurulatihan pasukan negara yang kini diterajui bekas Ketua Jurulatih Kuala Lumpur Azhar Sarabini.
Jelasnya, beliau tidak mahu timbul sebarang konflik sekiranya MSC memilih individu yang dipercayai mereka bagi mengisi barisan kejurulatihan skuad negara.
"Nanti kalau saya cadang atau orang lain cadang dan akhirnya tak sekepala dengan dia (Azhar) takut macam-macam jadi dan akan tuding-menuding antara satu sama, saya tak nak ia berlaku," katanya.
Azhar dilantik Ketua Jurulatih baharu skuad lelaki kebangsaan dengan kontrak setahun berkuat kuasa 15 Jun pada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi MSC, baru-baru ini. - Bernama