[VIDEO] 'Kerajaan sedia ada tak stabil sebab Muhyiddin bertemu DAP'

Iklan
Zahidi Zainul, Muhyiddin

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berpandangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu diadakan pada tahun ini kerana kerajaan sedia ada kini tidak stabil.

Menurut beliau, antara faktor berlakunya ketidakstabilan termasuk tindakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan pemimpin DAP.

Iklan
Iklan

"Muhyiddin tidak sepatutnya mengadakan pertemuan dengan DAP kerana Bersatu pada masa ini bersama Barisan Nasional (BN), Pas dan beberapa parti lain berada dalam kerajaan yang memerintah sekarang.

"Macam mana kerajaan hendak stabil jika ada pemimpin daripada parti yang bersama-sama membentuk kerajaan mengadakan perbincangan dengan pembangkang seperti DAP.

Iklan

"Disebabkan ketidakstabilan ini, eloklah PRU15 disegerakan. Namun, jika ditanya bila sepatutnya PRU15 diadakan, saya berpendapat eloklah pada tahun ini juga,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Zahidi yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, menambah, PRU15 perlu dipercepatkan demi menstabilkan kerajaan.

Iklan

Tegasnya, cadangan itu juga tiada kena mengena dengan kes-kes mahkamah yang dihadapi pemimpin-pemimpin tertentu.

"Jika kerajaan stabil semua urusan pasti berjalan lancar dan masalah negara dan rakyat dapat diselesaikan segera. Yakinlah, kerajaan yang stabil dapat menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.

"UMNO tidak pernah campur tangan dalam urusan melibatkan kes-kes mahkamah. Kes mahkamah diselesaikan melalui mahkamah untuk tentukan bersalah atau tidak,” katanya.