KABUL - Sekurang-kurangnya 280 orang terbunuh dan 595 cedera selepas gempa bumi menggegarkan wilayah Paktika di Afghanistan pagi Rabu, lapor Xinhua memetik siaran Agensi Berita Bakhtar.
Kira-kira 255 orang terkorban di daerah Barmal, Ziruk, Naka dan Gayan di wilayah Paktika, daerah paling terjejas di wilayah timur, menurut laporan itu memetik sumber tempatan terkini.
Helikopter dan pasukan penyelamat sudah berada di kawasan yang terjejas.
Di wilayah jiran Khost, sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dan 95 yang lain cedera.
Menurut US Geological Survey, gempa bermagnitud 6.1 itu menggegarkan 44 kilometer (km) barat daya Khost.
Ia merosakkan berpuluh-puluh rumah di wilayah itu dan juga menyebabkan kejadian tanah runtuh di Paktika, menurut sumber tempatan. - Bernama