Pas seru penyatuan ummah hadapi PRU15

Iklan
Muhammad Fauzi

GEORGETOWN - Situasi politik semasa negara masa ini memerlukan parti dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam serta rakan-rakan bukan Islam yang tidak ekstrem bekerjasama lebih erat terutama dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, pihaknya yakin penyatuan ummah itu juga dapat mengelakkan tragedi 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pasca PRU14 berulang kembali.

Iklan
Iklan

Menurutnya, melihat suasana politik di Pulau Pinang khususnya, penyatuan ummah sangat penting bagi membenam DAP dan PH daripada memerintah negeri ini.

"Kelalaian Melayu-Islam di Pulau Pinang tidak menjalin hubungan penyatuan ummah ini dengan sebaiknya, maka sudah semestinya harapan untuk merampas Pulau Pinang ataupun ingin menjatuhkan DAP dan PH hanyalah suatu omongan yang kosong,"katanya menerusi kenyataan di sini, pada Rabu.

Iklan

Muhammad Fauzi berkata, Pas Pulau Pinang yakin bahawa usaha penyatuan ummah ini memerlukan kesungguhan jiwa yang besar serta sikap toleransi dan sabar demi mencapai kesejahteraan.

Sementara itu beliau berkata, Pas Pulau Pinang kekal dengan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan PH.

Iklan

"Khemah besar yang dicadangkan tersasar dari agenda penyatuan ummah dan cadangan itu hanya memberi nyawa kepada PH semata-mata," katanya.

Pada Ahad Pas menegaskan bahawa parti itu menolak idea ‘khemah besar’ dan akan memfokuskan kepada agenda penyatuan ummah.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, prinsip Pas dalam seruan penyatuan ummah adalah jelas.

"Pas berdiri teguh dengan prinsip kerjasama politik yang menguatkan dahulu umat Islam dalam masa sama berdiri dalam satu perikatan dengan parti bukan Islam yang tidak ekstrem dan menjulang prinsip Perlembagaan Persekutuan.

"Pas tidak akan berhenti menyeru seluruh parti Melayu Islam baik UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bersama-sama dalam membina semula negara dan memperkukuhkan umat Islam,” katanya.