PASIR PUTEH - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) memberi bimbingan kemahiran dan keusahawanan kepada 625 belia serta suri rumah dalam kalangan B40 di negeri ini bagi meningkatkan taraf kehidupan rakyat.
Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Modal Insan ECERDC, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata, bimbingan kemahiran dan keusahawanan itut diberikan menerusi penganjuran Program Empower ECER dan ECER-MEKAR dengan kerjasama Yayasan Petronas serta UMK Business Ventures Sdn Bhd (UMKBV).
Menurutnya, program itu menyasarkan golongan B40 termasuk belia dan suri rumah untuk membantu mereka meningkatkan pendapatan isi rumah melebihi 50 peratus daripada pendapatan sebelum ini sekali gus mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan.
"Peserta yang menyertai program ini berpeluang menyertai kursus kemahiran dan keusahawanan secara percuma untuk mereka menjana pendapatan dan memberi peluang pekerjaan.
"Melalui kursus latihan keusahawanan tersebut, peserta akan diberi bimbingan melibatkan kemahiran seperti pembuatan bakeri dan pastri, masakan dan penyediaan makanan serta juruteknik dan penyelenggaraan,” katanya pada Majlis Meraikan Anak-Anak Yatim dan peserta Program Empower ECER dan ECER-MEKAR di Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhuafa Lilbanin Sri Peraksi baru-baru ini.
Hadir sama, Exco Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Keusahawanan Kelantan, Datuk Hanifa Ahmad dan Ketua Unit Pegawai Operasi Yayasan Petronas, Tengku Noraida Tengku Mahmood.
Wan Mohd berkata, Program Empower ECER dan ECER-MEKAR memberi manfaat kepada peserta di empat daerah di negeri itu iaitu Bachok, Jeli, Tanah Merah dan Pasir Puteh.
Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 74 anak-anak yatim dari Pertubuhan Rumah Anak Yatim Dhuafa Lilbanin Sri Peraksi, Pasir Puteh dan Rumah Anak Yatim Salimah, Telong Bachok diraikan oleh 30 peserta dari program Kursus Dandanan Penggayaan Rambut, Pastri dan Bakeri, Jahitan Reka Bentuk Hiasan Dalaman dan Pengurusan Pengemasan.
"Kehadiran peserta program empower ECER dan ECER-MEKAR dapat bersama-sama menyumbangkan kemahiran yang dimiliki hasil daripada latihan yang dipelajari melalui program ini.
"Anak-anak yatim juga diraikan dengan perkhidmatan gunting rambut secara percuma dan diadakan gotong royong membersihkan rumah anak yatim selain aktiviti menghias kek cawan,” katanya.